Dakwaan kononya kerajaan Malaysia mengusir rakyat Indonesia secara besar-besaran sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) adalah tidak benar dan tidak bertanggungjawab, kata Menteri Luar, Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya dakwaan itu bukan sahaja disangkal oleh Malaysia tetapi juga pernah turut dinafikan oleh pihak berkepentingan Indonesia sendiri sebelum ini termasuk kenyataan daripada Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi.

Menurut Hishammuddin, hubungannya dengan Retno juga baik malah Wisma Putra dan Kementerian Luar Indonesia juga sentiasa berhubung bagi membincangkan kepentingan rakyat negara masing-masing yang menetap di Malaysia dan Indonesia.

“Justeru, nasihat saya kepada pihak di luar sana, semak dahulu kesahihan fakta sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Jangan sewenang-wenangnya membuat dakwaan tidak bertanggungjawab yang boleh mengeruhkan hubungan serumpun Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan.

Hishammuddin mengulas kenyataan Migrant Care (Perhimpunan Indonesia Untuk Buruh Migran Berdaulat) baru-baru ini yang mendakwa kerajaan Malaysia mengusir rakyat Indonesia secara besar-besaran sepanjang tempoh PKP.

-Bernama