Terjemahan Esok tarif elektrik dinaikkan sebanyak 12 peratus, bagaimana kesannya terhadap kita? Benarkan 60 peratus daripada pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak akan terjejas kerana bil bulanan mereka kurang daripada RM43 sebulan?

Itulah dakwaan awal TNB dan kerajaan - hanya 40 peratus pengguna akan terjejas oleh kenaikan tarif tersebut. Tetapi siapakah yang tergolong dalam 60 peratus pengguna yang bernasib baik itu?

Malaysiakini telah menjalankan tinjauan di kawasan perumahan golongan berpendapatn rendah di pinggir bandaraya. Wartawan kami pergi ke tiga kawasan iaitu kawasan setinggan Kampung Kerinchi di Lembah Pantai, kuaters KTM dekat Bangsar Utama dan kampung Damansara, di pinggir Seksyen 17 Petaling Jaya.

Kampung Kerinchi, Lembah Pantai

Abudollah Mohamad, 51, yang tinggal bersama lima anggota keluarga di sebuah rumah papan satu bilik sedar tarif elektrik akan dinaikkan tetapi tidak pasti bagaimana kesannya terhadap keluarganya.

Malang bagi Abudollah kerana dia bukan salah seorang daripada pengguna yang bernasib baik. Bil elektriknya mencecah RM90 sebulan.

Beliau memberitahu, di rumahnya hanya terdapat sebuah kipas siling, sebuah televisyen 17 inci, sebuah peti sejuk, periuk nasi eletrik, sterika dan lampu kalimantang.

"Saya tidak mempunyai pendapatan tetap kerana saya bekerja sendiri. Tak tahulah apa yang nak dilakukan kalau tarif baru ini menjejaskan hidup kami sekeluarga,"katanya.

Surirumah, Shanti, 42, pula berkata, tarif baru elektrik ini tidak akan memberi apa-apa kesan kepada orang kaya tetapi orang miskin akan menderita.

Pendapatan suaminya hanya RM1,200 sebulan manakala bil eletriknya kira-kira RM50 sebulan.

"Minyak naik, api naik, tapi gaji tak naik," keluh Shanti.

Kuaters KTM di Bangsar Utama

Tinjauan kami mendapati sebahagian besar penghuni kuaters itu membelanjakan kira-kira RM70 untuk bil elektrik setiap bulan. Hanya sebilangan kecil yang bilnya kurang daripada RM43 sebulan.

Mohamed Zain Mahmood, 52, yang tinggal dalam rumah pangsa dua bilik hanya mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM1,100 untuk menyara tujuh anggota keluarganya.

Beliau tidak tahu menahu tentang kenaikan tarif eletrik itu tetapi berasa lega apabila diberitahu hanya mereka yang bil bulanannya RM43 ke atas akan terjejas.

Menurut Zain, penggunaan elektrik di rumahnya hanya kira-kira RM30 sebulan.

Zain dapat berjimat kerana di rumahnya hanya ada sebuah televisyen dan lampu kalimantang sahaja.

Sementara itu surirumah, Maznah, yang tinggal di rumah pangsa empat bilik bersama suami dan tiga anaknya turut mendakwa tidak tahu menahu mengenai kenaikan tarif itu.

Setiap bulan bil elektriknya mencecah RM80 kerana beliau turut menggunakan komputer di rumah namun Maznah yakin kenaikan tarif itu akan dapat diserap dengan baik.

Kampung Damansara, Petaling Jaya

Di Kampung Damansara, para penduduknya melahirkan rasa kurang senang terhadap kenaikan tarif elektrik itu.

Agen insuran, Mark, 32, berkata, walaupun bil bulanannya kira-kira RM30 sahaja, namun keluraganya tetap terjejas kerana harga barang makanan dan kos pengangkutan telah naik.

"Harga semua barang telah naik, mana ada orang yang tidak terjejas oleh kadar baru tarif elektrik ini," ujarnya.

Peniaga runcit, Encik Wong, 71, pula memberitahu, penggunaan elektriknya lebih RM100 sebulan kerana di rumah ada pendingin hawa.

Jelas sekali dari tinjauan ini hanya mereka yang menggunakan peralatan asas seperti lampu, televisyen dan kipas tidak akan terjejas oleh kenaikan tarif elektrik itu.

Bagaimanapun jika menggunakan alat pendingin hawa, peti sejuk serta komputer, kemungkinan besar setiap bulan anda perlu mengeluarkan lebih perbelanjaan untuk bil elektrik selepas ini.