Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKP: Kakitangan UPSI bimbang program menteri diteruskan

Meskipun terdapat banyak program dibatalkan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagaimanapun menyuarakan ketidakpuasan hati mereka apabila program lawatan Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad diteruskan hari ini.

Menurut salah seorang kakitangan yang enggan mendedahkan identitinya berkata, terdahulu hampir 20 orang pelajar dari fakulti muzik diarahkan untuk membuat persembahan bagi kunjungan lawatan menteri itu, pada jam 3 petang ini.

Bagaimapun persembahan itu dibatalkan, namun dakwanya program lawatan menteri itu masih dijadualkan berjalan seperti biasa.

Katanya, tindakan pihak atasan universiti terhadap pelajar-pelajar itu tidak bertanggungjawab kerana mereka telah mengadakan latihan seminggu sebelum program diadakan.

“Itu (latihan) menyalahi peraturan dan arahan PM. Aktiviti pelajar sepatutnya dihentikan, tetapi latihan telah diadakan sebelum ni dalam tempoh PKP,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut memo Jabatan Canselori yang dilihat oleh Malaysiakini, bertarikh 2 April, daripada Naib Canselor kepada pensyarah universiti Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Prof Madya Dr Mohd Azam Sulong menyatakan permohonan persediaan persembahan FMSP, sempena lawatan Noraini.

Tujuan lawatan itu diadakan bagi meninjau kesiapsiagaan dan tindakan pasukan petugas khas Covid-19 UPSI dalam usaha menangani penularan wabak itu.

Untuk rekod, PKP berkuatkuasa pada 18 Mac sehingga 31 Mac. Ia kemudian dilanjutkan kepada 14 April sebagai langkah kerajaan memutuskan rantaian penyebaran koronavirus.

PKP menyaksikan pergerakan orang ramai dikawal dengan teliti dan lalu-lintas diminimumkan termasuk penutupan premis kerajaan dan swasta kecuali perkhidmatan penting.

Kenapa perlu ambil risiko?

Pada masa sama, seorang lagi sumber yang juga merupakan kakitangan UPSI berkata program tersebut tidak sepatutnya diteruskan kerana universiti itu sepatutnya mengambil langkah menyokong usaha kerajaan mengekang penularan Covid-19.

“Walaupun program tersebut mempunyai kaitan dengan pemupukan kesedaran terhadap bahaya Covid-19, namun arahan jelas kerajaan ialah stay at home (duduk di rumah).

“Saya agak hairan, kenapa perlu ada lawatan dan ditambah pula dengan persembahan muzik yang sudah pasti akan melibatkan ramai orang yang akan berkumpul dan mengundang kepada jangkitan Covid-19.

“Kita tak tahu mungkin ada di antara mereka yang positif Covid-19 tapi belum ada simptomnya. Persoalannya, kenapa perlu ambil risiko tersebut?” Soalnya.

Katanya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap penganjur program tersebut.

“Kalau perkara yang wajib seperti solat Jumaat pun dihentikan sementara, kenapa tidak aktiviti-aktiviti yang dirasakan tidak perlu?,” tambahnya.

Ikut SOP KKM 

Ketika diminta mengulas mengenai aduan program yang diteruskan itu, Naib Canselor UPSI, Prof Dr Mohammad Shatar Sabran memberitahu Malaysiakini lawatan menteri pada petang ini akan tetap diteruskan.

Jelas beliau, program berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Memang YBM melawat untuk melihat how we handle (bagaimana kita tangani) Covid-19 dan bagaimana kebajikan pelajar. 

"No crowd (tiada himpunan orang ramai).. hanya yang terlibat, less than 20 (kurang dari 20 orang).

“Yang penting SOP KKM dipatuhi,” katanya menerusi Whatsapp.

Beliau juga mengesahkan bahawa persembahan muzik dari pelajar dibatalkan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS