Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Prof Dr Awang Sariyan mencadangkan singkatan nama Kementerian Alam Sekitar dan Air ditukar kepada Kasa berbanding Mewa yang diperkenalkan baru-baru ini.

Penyandang Kursi Za’ba Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris itu berkata, singkatan nama dalam bahasa Melayu itu lebih sesuai dengan nama kementerian itu sendiri.

“Nama rasminya dalam bahasa kebangsaan iaitu Kementerian Alam Sekitar dan Air, singkatan rasminya ialah Kasa.

“Singkatan itu wajar diutamakan kerana berdasarkan nama rasmi kementerian itu,” jelasnya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sebelum ini nama 'Mewa' dipertikaikan beberapa pihak selepas sebuah portal berita melaporkan singkatan dalam bahasa Inggeris - 'Ministry of Environtment and Water' itu - mempunyai makna 'bingung' atau bodoh dalam dialek Kelantan.

Anggota parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong turut mempersoalkan mengapa singkatan nama asal kementerian dalam bahasa Melayu ditukar kepada bahasa Inggeris.

"Mana perginya suara-suara pejuang bahasa? Diam seribu bahasa sebab tak boleh salahkan DAP sekarang? Tanya je, jangan marah," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata singkatan nama baru kementerian itu masih dalam peringkat perbincangan dan akan dimuktamadkan dalam peringkat kementerian nanti.

Sementara itu, Prof Dr Awang menjelaskan Kasa mempunyai beberapa makna yang boleh dirujuk dalam laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Antaranya kain halus. Makna lain; dalam sastera klasik, “kasa” ialah bentuk singkat bagi “angkasa” jelasnya.

Prof Dr Awang turut berkata perkataan itu lebih baik digunakan berbanding Mewa yang membawa maksud tidak baik.

Lihat Komen
ADS