mk-logo
Berita
'Nama asal kementerian bahasa Melayu kenapa tukar ke bahasa Inggeris?'
Diterbitkan:  Apr 3, 2020 4:38 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong mempersoalkan pengumuman Kementerian Alam Sekitar dan Air menukar nama singkatan asal kementerian itu daripada bahasa Melayu 'Kas' kepada Bahasa Inggeris 'Mewa'.

"Boss tak mau komen pasal maksud Mewa dalam bahasa Kelate. Tapi boss pelik la. Nama kementerian asal bahasa Melayu, kenapa tukar ke bahasa Inggeris," kata Sim yang membahasakan dirinya 'boss' dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau mengulas keputusan kementerian tersebut semalam mengumumkan penjenamaan semula Kementerian Alam Sekitar (KAS) kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air, dengan singkatan Mewa.

Tidak berapa lama kemudian, satu portal berita melaporkan singkatan baru berdasarkan nama kementerian dalam bahasa Inggeris - Ministry of Environment and Water itu- bermakna 'bingung' atau 'bodoh' dalam dialek Kelantan.

Steven yang juga bekas timbalan menteri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) teringat bagaimana Pakatan Harapan (PH) diserang apabila satu program anjuran kementerian berkenaan menggunakan Bahasa Inggeris.

"Boss masih ingat lagi dulu di KBS bila salah satu program di bawah Bulan Sukan Negara guna bahasa Inggeris, kena kecam kiri kanan macam dunia nak kiamat. Dewan Bahasa kecam, NGO kecam. Itu nama satu program sahaja.

"Ini nama satu kementerian kena tukar jadi Bahasa Inggeris macam mana pula? Takkan dah dibolehkan sekarang. Takkan nak "ikut" PH pula.

"Mana perginya suara-suara pejuang bahasa? Diam seribu bahasa sebab tak boleh salahkan DAP sekarang? Tanya je, jangan marah," katanya.

Bagaimanapun, menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata singkatan nama baru kementeriannya, Mewa masih dalam peringkat perbincangan dan akan diputuskan dalam peringkat kementerian nanti.

“Buat masa ini kita kekal dengan nama penuh Kementerian Alam Sekitar dan Air,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sementara itu, Steven juga mencadangkan beberapa nama baru kepada kementerian itu untuk dipertimbangkan.

"Singkatan dengan maksud yang baik dan berkaitan tugasan kementerian: Kasa- sejenis kain halus, ringkasan 'perkasa', 'angkasa', Kelita - bahasa Iban, sejenis lampu pelita yang digunakan untuk menyuluh rumah panjang, Kemala - batu geliga alam dalam legenda nusantara, nama pena Sasterawan Negara, Dato Dr. Haji Ahmad Kamal bin Abdullah dan Kelama - sejenis tumbuhan herba berkhasiat yang boleh didapati di merata tempat di Asia Tenggara.

"Antaranya singkatan dengan bunyi baik tanpa maksud sebenar atau sempurna: Kelitar, Kamir dan Kemir. Mohon pertimbangan YB Menteri Mewa. Semoga lancar segala usaha YB di kementerian," katanya.  

Lihat Komen
ADS