Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

KORONAVIRUS | Pemilik haiwan tidak perlu panik apabila mendengar berita mengenai seekor harimau yang dijangkiti Covid-19 di AS, sebaliknya mereka perlu lebih bertanggungjawab atas kebersihan haiwan peliharaan mereka, kata Persatuan Haiwan Malaysia.

Presidennya, Arie Dwi Andika, berkata orang ramai tidak perlu panik kerana setakat ini masih belum ada sebarang kajian mengenai hal itu dan disahkan oleh pihak tertentu.

“Apabila masyarakat panik, yang menjadi mangsa adalah haiwan kerana soal ini masih belum dapat disahkan.

"Dalam negara kita ada jabatan veterinar, mereka tidak mengeluarkan apa-apa pengesahan sebegini,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai termasuk pencinta haiwan agar sentiasa menjaga kebersihan dan mencuci tangan termasuk sebelum dan selepas mengendalikan peliharaan masing-masing. 

Pada hantaran di Facebook itu, beliau juga berkongsi info grafik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai penjagaan perlindungan daripada wabak. Antara lain, gesaan membasuh tangan selepas mengendalikan haiwan atau sisa haiwan.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan media antarabangsa mengenai seekor harimau Malaya di Zoo Bronx, New York, disahkan positif Covid-19 kerana terdedah kepada salah seorang kakitangan yang dijangkiti penyakit berkenaan.

Pekerja terbabit dilaporkan tidak menunjukkan gejala semasa menjaga harimau itu.

Arie berkata dia percaya bahawa pemilik haiwan perlu bertanggungjawab terhadap peliharan mereka kerana ia tertakluk kepada Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Terus cuci tangan

“Sebagai pemilik, seseorang itu bukan saja (jaga kebersihan haiwan ketika) Covid-19, tetapi untuk kesihatan umum kerana kita tinggal sebumbung dengan haiwan peliharaan kita.

“Ini demi melindungi kebajikan haiwan dan keluarga pemilik haiwan itu juga, kerana haiwan peliharaan ini adalah sebahagian daripada keluarga mereka,” katanya.

Arie Dwi Andika

Sementara itu, beberapa pemilik haiwan turut menyuarakan kebimbangan mereka meskipun tiada kajian atau pengumuman rasmi mengenai jangkitan wabak koronavirus ke atas binatang peliharaan.

Farhana Fuad dari Petaling Jaya berkata sejak tercetus krisis Covid-19, dia sudah mengambil langkah berjaga-jaga seperti membasuh tangan sebelum dan selepas menyentuh kucingnya.

Menurut Farhana, 30, dia juga akan mencuci tangan selepas keluar membeli barang keperluan atau mengambil pesanan daripada penghantar makanan, sebelum menyentuh kucingnya.

“Jangan bagi kucing dan binatang peliharaan kita keluar dari rumah kalau boleh. Selepas beli barang keperluan contohnya, terus cuci tangan dan rendam baju dalam air sabun.. (langkah) sama juga macam kalau kita ada anak atau ahli keluarga di rumah,” katanya.

Bagi Amalina Jalil dari Shah Alam pula, dia tidak bimbang dengan berita mengenai harimau Malaya tersebut, sebaliknya lebih khuatir jika ada orang mengambil langkah drastik dengan membuang haiwan peliharaan mereka.

Tak dapat buat apa-apa

Bagi Amalina, dia percaya kebanyakan pemilik haiwan peliharaan memang menitik beratkan soal kebersihan.

“Haiwan peliharaan kalau dijangkiti Covid-19 (seperti di New York), ia disebabkan manusia. Jadi minta tuan (pemilik) yang kena jaga kontak dengan orang lain.

“Kalau binatang tu kena pun, sebab manusia. Jadi kita sebagai manusia yang tahu mengenai wabak ni dan tahu cara untuk mengelakkannya, kitalah yang kena berjaga-jaga.

“Jangan paranoid tak tentu pasal. Kita kena ikut arahan pihak berkuasa. Kalau kerajaan suruh duduk rumah, kita duduk rumahlah,” kata gadis berusia 31 tahun itu.

Pada masa sama, dia turut senada dengan Farhana yang berasakan dalam keadaan sekarang, pemilik haiwan peliharaan perlu lebih kerap membersihkan rumah mereka.

Normazura Mohd Tahir dari Shah Alam berkata, dia agak bimbang dengan kes yang berlaku ke atas harimau bernama Nadia itu, terutama kerana usianya kini 59 tahun dan lebih berisiko kepada bahaya jangkitan.

“Walaupun kes terpencil, ia agak membimbangkan saya kerana virus ini masih baru dan kita tak tahu apa lagi yang boleh ia lakukan.

“Lagipun, kucing adalah makhluk yang tidak dapat berbuat apa-apa jika sakit. Kalau manusia boleh ambil langkah berjaga-jaga sendiri.

“Jadi sebagai manusia, kita perlu lebih mengawal aktiviti kucing peliharaan dan peka dengan soal kesihatan mereka,” katanya. 

Lihat Komen
ADS