Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jaga kebersihan - Nasihat pengarah KKM pada pemilik haiwan

Di tengah-tengah laporan haiwan dan binatang kesayangan dijangkiti Covid-19, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai untuk sentiasa menjaga kebersihan.

"Bagi pencinta haiwan, binatang kesayangan dianggap sebahagian daripada keluarga mereka. 

"Sekiranya kita tidak dapat menjauhkan diri daripada binatang kesayangan dan haiwan, penting untuk menjaga kebersihan diri pada setiap masa termasuk ketika bersentuhan dengan haiwan dan binatang peliharaan.

"Cuci tangan sebelum dan selepas mengendalikan haiwan berkenaan. 

"Sementara itu, Kementerian Kesihatan akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) untuk nasihat terperinci mengenai perkara ini," katanya lagi.

Pada hantaran di Facebook itu, beliau juga berkongsi info grafik daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai penjagaan perlindungan daripada wabak, antara lainnnya menggesa membasuh tangan selepas mengendalikan haiwan atau sisa haiwan.

Terdahulu hari ini, dilaporkan seekor harimau betina, spesis Harimau Malaya bernama Nadia berusia empat tahun di Zoo Bronx, New York diuji positif wabak pernafasan Covid-19, dalam kes pertama jangkitan daripada manusia kepada haiwan di Amerika Syarikat, lapor media antarabangsa pada Ahad.

Nadia dan kakaknya Azul, juga dua ekor harimau Amur dan tiga singa Afrika dilihat menunjukkan gejala batuk kering dan kucing besar itu dipercayai dijangkiti wabak itu daripada penjaga zoo.

Terdapat juga laporan kucing dan anjing diuji positif Covid-19 di Hong Kong dan Belgium.

[Baca berita asal]


Nota editor: Terdahulu Malaysiakini menerbitkan laporan memetik Dr Noor Hisham Abdullah menggesa orang ramai menjaga jarak dengan haiwan sebagai langkah berjaga-jaga berdasarkan kenyataan pada sidang akhbarnya hari ini.

Laporan itu telah ditukar selepas Kementerian Kesihatan menarik balik kenyataan tersebut.

Lihat Komen
ADS