Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob menafikan dakwaan Persatuan Hotel Malaysia bahawa hotel yang digunakan untuk kuarantin bersetuju mengenakan caj tertentu.

Bayaran harga rata RM150 semalam untuk penginapan hotel yang digunakan sebagai pusat kuarantin Covid-19 telah dipersetujui oleh kerajaan dan pihak hotel yang menandatangani inisiatif itu, jelas Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menafikan dakwaan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) semalam bahawa hotel yang membenarkan premisnya untuk digunakan sebagai pusat kuarantin telah bersetuju untuk mengenakan bayaran tertentu dan ia akan ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac).

"Kita dimaklumkan harga telah dipersetujui," kata Ismail kepada Malaysiakini melalui pesanan khidmat ringkas semalam.

Beliau ditanya mengenai laporan media yang memetik CEO MAH Yap Lip Seng berkata pihaknya tidak tahu menahu mengenai harga rata RM150 yang ditetapkan kerajaan.

"RM150 dibayar oleh kerajaan berdasarkan persetujuan dengan hotel yang berdaftar... kita akan dapatkan penjelasan dari Agensi Pengurusan Bencana (Nadma) dan Motac," kata Ismail lagi.

Menteri pertahanan berkata akan menjelaskan isu ini dengan lebih lanjut lagi pada sidang akhbar harian kluster keselamatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Ketika sidang akhbar semalam, Ismail memberitahu pemberita kerajaan hanya menanggung kos penempatan termasuk makan dan minum setiap individu terhad kepada RM150 sehari, manakala mereka yang memilih untuk dikuarantin di hotel yang melebihi kadar itu, perlu menanggung kos selebihnya.

Beliau juga berkata, bagaimanapun mereka hanya diberi pilihan untuk ditempatkan di 45 hotel yang telah ditetapkan kerajaan bagi memudahkan pemantauan.

Susulan itu, MAH memberikan maklum balasnya dengan memberitahu Free Malaysia Today (FMT) bahawa pihaknya tidak diberikan "taklimat sedemikian."

Bagaimanapun, Yap dalam laporan FMT itu enggan mendedahkan kadar kuantum yang dipersetujui antara MAH dan kerajaan.

Jelasnya, dalam perjanjian antara MAH dan kerajaan, mereka bersetuju untuk menawarkan "harga sangat rendah" yang sepatutnya dibayar penuh oleh Motac. 

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS