Mustapha: 55 peratus pelajar IPT hanya dapat CGPA 2.5
Kira-kira 55 peratus pelajar universiti tempatan hanya memperolehi jumlah purata gred (CGPA) 2.5 dan ini amat membimbangkan kerana menjejaskan daya siang mereka di peringkat global, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Mohamed.
Kira-kira 55 peratus pelajar universiti tempatan hanya memperolehi jumlah purata gred (CGPA) 2.5 dan ini amat membimbangkan kerana menjejaskan daya siang mereka di peringkat global, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Mohamed.
Beliau menegaskan, keadaan ini perlu diberi perhatian khas untuk menjadikan mereka lebih berdaya saing.
"Saya tidak bimbang dengan 20 peratus yang merupakan yang terbaik dan boleh bersaing pada peringkat global tetapi 25 peratus lagi pelajar yang berada pada peringkat pertengahan juga perlu diberi perhatian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengurusan Kualiti anjuran Institut Pengurusan Kualiti Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah.
Katanya kerajaan memandang berat soal mutu dan daya saing para pelajar dan usaha untuk meningkatkan mutu penyelidikan dan pembangunan sedang dijalankan.
Beliau juga menegaskan, kerajaan tidak bercadang mengkorporatkan universiti-universiti awam tempatan sebaliknya pengurusan universiti berkenaan hendaklah berusaha menjana pendapatan tambahan.
Menurut laporan Bernama, Mustapha berkata, pengurusan universiti kini diberikan lebih kuasa autonomi bagi mengurus, memantapkan pentadbiran dan meningkatkan kemampuan kewangannya.
"Kuasa itu diberikan agar mereka lebih cekap, pantas dan licin tetapi kerajaan akan tetap membuat pemantauan dan pengawasan supaya pengurusan universiti tidak melampaui dasar-dasar yang ditetapkan," katanya.
Mustapa berkata walaupun universiti digalakkan mencari pendapatan tambahan, itu tidak bermakna yuran dan sebagainya boleh dinaikkan kerana ini akan membebankan ibu bapa.
Pihak universiti melalui anak-anak syarikat, misalnya, boleh mengambil alih perkhidmatan yang dilaksanakan pihak luar atau menubuhkan anak syarikat untuk menjalankan perniagaan, katanya.
Mustapa berkata beberapa universiti seperti UUM telah menubuhkan anak syarikat untuk menjana pendapatan tambahan untuk tujuan pembangunannya dan langkah ini seharusnya diikuti universiti lain.
Beliau berkata kerajaan akan terus memberikan subsidi kepada universiti tempatan kerana menyedari kekangan yang dihadapinya untuk menjana pendapatan memandangkan yuran pelajar menyumbang hanya 12 peratus kepada pendapatan sesebuah universiti itu.
Mustapa juga telah mengadakan pertemuan dengan Naib Canselor universiti-universiti tempatan untuk mendapatkan laporan perancangan, perubahan dan pendekatan mereka ke arah meningkatkan daya saing universiti masing-masing.

