Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Persefahaman Bersatu dan Umno perlu diterjemah dalam agihan jawatan'

Persefahaman antara pemimpin Bersatu dan Umno dalam Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja dari segi menghormati sesama sendiri tetapi dilihat perlu diterjemahkan dalam bentuk material seperti jawatan dan kedudukan.

Mengulas mengenai isu yang berlaku di peringkat negeri antara kedua-dua parti itu, salah seorang pemimpin Bersatu Johor yang enggan mendedahkan identitinya berkata jawatan-jawatan sedia ada dalam negeri itu sepatutnya diagihkan sama rata.

“Kita menghormati sesama sendiri tapi walaupun dalam keadaan begitu, kita harus ingat-mengingati.

“Bukan sekadar mengingat tapi kita mesti menterjemahkan persefahaman kita ni dalam bentuk sesuatu yang material, yang boleh dilihat contohnya (dari segi) jawatan di GLC (syarikat berkaitan kerajaan), kedudukan-kedudukan.

“Ini tak boleh dielakkan.. kita bila ada kuasa, ada tempat-tempat yang perlu kita terjemahkan kuasa kita melalui jawatan perlu diagih bersama dan sama rata,” katanya yang hanya mahu dipetik sebagai sumber, ketika dihubungi Malaysiakini.

Dia berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri semalam yang meminta parti lain dalam PN agar tidak memandang rendah keberadaan Bersatu dalam gabungan berkenaan.

Solihan yang merupakan Adun Tenang itu dalam kenyataannya semalam turut berkata penyertaan Bersatu dalam GLC dan lantikan politik yang lain perlulah dijadikan sebagai "rukun kesepaduan" dalam PN.

Pada masa sama, sumber tersebut berkata dia sudah sedia maklum apabila individu yang mempunyai jawatan paling tinggi akan mempunyai kuasa untuk mengagihkan jawatan kepada orang bawahannya.

Dia berkata demikian apabila ditanya sama ada penentuan kedudukan tersebut dipengaruhi oleh kuasa menteri besar negeri itu yang merupakan dari parti Umno.

Sumber tersebut menambah, terdapat juga kesulitan antara pengerusi parti Umno dan Bersatu negeri apabila kata sepakat tidak dapat dicapai dengan lancar seperti mana ketika di bawah PH.

“Kadang-kadang macam pihak ketua kita YB Mazlan (Bujang) susah juga nak komunikasi dengan MB (Hasni Mohammad).

“Kadang-kadang part (bahagian) tu pun menyebabkan tidak smooth (lancar). Bukan susah dicapai kata sepakat tu, tapi ada ketika tu tak selancar seperti dulu.

“Mungkin kita baru lagi (gabungan PN), belum sempat apa-apa lepas tu (sibuk dengan isu) Covid-19 ni. Jadi hubungan kita belum betul-betul mesra,” katanya.

Menurutnya lagi, penerimaan akar umbi dalam Bersatu juga berbeza apabila masih terdapat unsur-unsur tidak bersetuju dengan gabungan tersebut serta timbul kekhuatiran parti itu dipinggirkan.

“Jadi proses tu mungkin mengambil masa dan kena ada satu force yang menyatukan kita juga,” katanya.

Umno gunakan Bersatu untuk kuatkan kedudukan

Isu pelantikan jawatan antara kedua-dua parti itu turut diakui oleh bekas menteri besar Johor, Osman Sapian yang berkata ia bukan sahaja berlaku di peringkat negeri, malah persekutuan.

“Ia timbul bukan sebab isu menentang tapi isu kerana pihak Umno sendiri, dah macam nak monopoli kuasa,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Di peringkat negeri, beliau turut memberikan beberapa contoh yang menurutnya menunjukkan pemimpin Bersatu dipinggirkan oleh pemimpin Umno dalam pelantikan dalam agensi kerajaan negeri.

“Macam Datuk Latif (Ahmad - Menteri Pembangunan Luar Bandar dan ahli parlimen Mersing), dia orang Bersatu tapi (bekas) Umnolah kan, yang melompat masuk kepada Bersatu - dia buang ahli lembaga pengarah daripada Bersatu tanpa ada sebab,” katanya.

Tambahnya, perkara yang sama berlaku apabila Adun Permas, Che Zakaria Mohd Salleh yang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) sewaktu pentadbirannya akhirnya dipecat begitu sahaja tanpa sebarang notis.

“Kalau Bersatu tak ada dalam ni (PN), kita takkan jadi kerajaan walaupun kita minoriti, dia (Umno) bergantung pada kita,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu pelantikan ketua bahagian Umno Pasir Gudang, Khaled Nordin sebagai pengerusi Yayasan Pasir Gudang, dengan mempertikaikan mengapa wakil rakyat di kawasan situ seperti Che Zakaria yang merupakan Adun di bawah Pasir Gudang tidak dilantik.

Untuk rekod, pada PRU ke-14, Khaled yang ketika itu merupakan menteri besar kalah bertanding di Pasir Gudang menentang Hassan Abdul Karim dari PKR (61,615).

“Khaled ni siapa? Bukannya ahli parlimen atau Adun. Dia nobody (bukan siapa-siapa).

“Benda (isu) macam ni kita nampak dia (Umno) mengenepikan dan gunakan kita (Bersatu) untuk jadi kerajaan tapi sebaliknya untuk menguatkan kedudukan Umno di tempat yang kalah. Maka timbullah perasaan tak puas hati,” kata Osman.

Malaysiakini sudah menghubungi pemimpin Umno untuk mendapatkan ulasan.

Lihat Komen
ADS