Anwar kata, Pak Lah mesti jawab kritikan Dr M
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mesti menjawab kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap dasar-dasar negara yang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinannya sekarang, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mesti menjawab kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap dasar-dasar negara yang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinannya sekarang, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Katanya, Abdullah mungkin tidak perlu menjawab isu-isu peribadi yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir seperti tuduhan menikamnya dari belakang dan tidak diberi pengiktirafan sewajarnya tetapi Perdana Menteri perlu menjawab dakwaan yang berkaitan dengan ekonomi, rasuah, media dan bidang kehakiman.
"Isu-isu peribadi tidak menarik perhatian rakyat. Tetapi kritikan mengenai dasar-dasar nasional [...] sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab, saya menggesa beliau menjawabnya. Beliau mesti lakukan secara jelas kerana rakyat mahu tahu kebenarannya. Rakyat mesti diberi peluang untuk menilai kesahan dan kebenaran kenyataan tersebut," katanya.
Bercakap dalam sidang akhbar di Taman Jaya, Petaling Jaya hari ini, Anwar berkata, Abdullah tidak boleh mengenepikan begitu sahaja dakwaaan tersebut tetapi sebaliknya mesti menanganinya.
Anwar mengulaskan kritikan keras Dr Mahathir terhadap Abdullah dan menuduh perdana menteri tidak menunaikan janjinya. Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri pada tahun 1988 atas dakwaan salahlaku seks. Mahathir kemudiannya melantik Abdullah sebagai timbalannya.
'Dakwaan dangkal'
Anwar juga berkata, dakwaan Dr Mahathir bahawa pihak media kurang dikongkong manakala bidang kehakiman pula lebih berkredibiliti sewaktu pentadbiranny sebagai 'dangkal', sambil menegaskan bahawa mereka yang jahil mengenai apa yang telah berlaku, sahaja yang akan mempercayainya.
Katanya, pandangan Dr Mahathir selalunya terpesong kerana beliau di kelilingi oleh mereka yang mahu berada dalam 'bukunya'.
Anwar mendakwa, Dr Mahathir di keliling oleh tok ampu yang tidak pernah memberitahu gambaran sebenarnya kepada beliau.
Kerana itulah, tambah Anwar, bekas perdana menteri itu tidak pernah mengetahui perkara yang sebenarnya.
Ketika diminta mengulas mengenai kesukaran yang dihadapi Abdullah untuk menangani Dr Mahathir, Anwar berkata, kesemua yang berlaku itu tidak sama dengan apa yang telah dialami ketika bersama Dr Mahathir dahulu.
"Sekurang-kurangnya Abdullah tidak dibelasah atau ditelanjangkan atau dihumban ke penjara. Beliau patut bersyukur kerana sekarang menjadi perdana menteri," katanya.
Mengenai dakwaan Dr Mahathir bahawa Abdullah bukan pilihan pertamanya, Anwar berkata, masalah itu timbul kerana bekas Perdana Menteri itu tidak puas hati dengan semua orang.
"Saya pernah menjadi pilihan pertama tetapi dia tak mahu saya. Kemudian sekarang pilihan kedua pun tak boleh, pilihan ketiga pun tak kena. Yang betul dia seorang sahaja," kata Anwar.
Tiada peningkatan
Menyentuh mengenai pentadbiran kerajaan sekarang, Anwar berkata, tidak ada banyak peningkatan sejak Dr Mahathir bersara.
Menurutnya, pada akhir tempoh pentadbiran Dr Mahathir, keadaan ekonomi semakin merosot, wujudnya kurang keyakinan terhadap urustadbir, rasuah dan nepotisme semakin meningkat, manakala pelaburan asing pula telah merosot, yang menurut Anwar, merupakan isu-isu yang serius.
Malangnya, katanya Anwar, di bawah pentadbiran Abdullah juga tiada perubahan dan tiada halatuju, selain daripada retorik tetapi tidak ada pelaksanaannya.
Mengenai cadangan supaya beliau dan pemimpin Umno Tengku Razaleigh Hamzah dan Dr Mahathir berbincang mengenai isu-isu yang membabitkan orang Melayu, Anwar berkata, tumpuannya lebih kepada rakyat keseluruhannya.
Demi kepentingan rakyat, Anwar berkata, para pemimpin Umno mesti mengambil langkah-langkah perlu untuk membasmi rasuah, mewujudkan kebebasan media dan meneruskan pembaharuan.
Ditanya sama ada beliau bersedia atau tidak untuk mengadakan perbincangan seumpama itu, Anwar berkata beliau akan mengkaji sebarang cadangan yang dikemukakan kepadanya.

