Terjemahan Seorang juruaudit Chong Yaw Huei mendakwa beliau berdepan dengan pelbagai halangan dan terpaksa membayar RM250 kepada seorang anggota polis untuk mendapatkan semula keretanya yang hilang bulan lalu.

Chong, 31, membuat dakwaan itu dalam satu sidang media yang dianjurkan oleh Ketua Biro Badan Bukan Kerajaan (NGO) DAP, Ronnie Liu di Petaling Jaya semalam.

Beliau berkata, kereta Proton Wira miliknya yang berusia dua tahun, hilang semasa diletak di luar rumahnya di Taman Paramount, Petaling Jaya pada 4 Mei lalu dan beliau membuat laporan polis mengenai kehilangannya di Balai Polis Sea Park..

Pada 17 Mei lalu, seorang pegawai insurans telah memberitahu Chong bahawa keretanya telah ditemui dan berada di Balai Polis Sea Park.

"Saya telah pergi ke balai polis tersebut bersama pegawai tuntutan insurans berkenaan serta seorang mekanik syarikat penunda kereta, tetapi sarjan polis enggan memulangkan semula kereta atau berunding dengan kami," katanya.

Peralatan kereta hilang

Mekanik itu kemudian didakwa menawarkan untuk membayar kepada sarjan tersebut sebanyak RM100, tetapi beliau menolak..

Ketika dihubungi semalam, mekanik itu berkata adalah perkara biasa untuk pegawai penyiasat menerima antara RM50 to RM100 sebelum melepaskan kereta curi.

"Saya tidak tahu mengapa sarjan itu enggan menerima wang tersebut, malah beliau memberi tahu saya 'saya bukan kuli, saya IO', mungkin dia mahu lebih banyak lagi," kata mekanik tersebut.

Chong kemudiannya datang ke balai polis berkenaan pada 19 Mei lalu, dengan mekanik lain dan beliau telah bercakap melalui telefon dengan sarjan dan setuju membayar RM250 untuk menyelesaikan kes tersebut..

Wang itu dibayar melalui seorang pegawai polis lain dan Chong menerima surat rasmi bahawa proses pemindahan kereta telah selesai.

Chong berkata, beliau berhasrat membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengenai perkara tersebut.

Menurut dokumen polis yang diperolehi Chong, kereta itu ditemui di Kota Damansara pada 11 Mei lalu oleh kereta peronda polis.

Anggota polis terbabit membawa kereta tersebut ke Balai Polis Sea Park selepas mendapati ia dicuri. Beliau juga membuat laporan polis yang menyatakan kereta tersebut turut kehilangan peralatan dalamannya, ketika ditemui.

Usaha malaysiakiini untuk mendapatkan komen dari pegawai Balai Polis Sea Park tetapi tidak mendapat jawaban.

Sehubungan itu, Liu menggesa orang ramai menghubungi talian bebas tol BPR iaitu 1800-88-8844 apabila berdepan dengan situasi perlu memberi rasuah. Berita asal