Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Pak Salleh boleh buka semula restoran Isnin ini
Diterbitkan:  May 1, 2020 12:09 PM
Dikemaskini: 5:38 AM

Ketika mengumumkan keputusan kerajaan untuk membuka semula hampir semua sektor ekonomi bermula 4 Mei ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memperkenalkan watak 'Pak Salleh' untuk memberikan gambaran berhubung langkah berkenaan.

Muhyiddin hari ini mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang akan menyaksikan hampir semua sektor ekonomi akan mula dibuka Isnin ini.

Pak Salleh, yang digambarkan Muhyiddin sebagai seorang pemilik restoran, boleh mula membuka semula perniagaan minggu depan.

Justeru, kata Muhyiddin, Pak Salleh boleh menggunakan dua hari ini ke restorannya untuk bersihkan premis, bersihkan pinggan, sudu, periuk dan lain-lain alat memasak, susun meja dan kerusi, dan beli stok barang-barang mentah.

Selain itu, kata Muhyiddin, Pak Salleh perlu pastikan meja disusun dengan jarak sekurang-kurangnya 2 meter antara satu meja dengan meja yang lain.

"Ini penting supaya di tengah-tengahnya ada ruang yang agak luas untuk pelanggan dan pekerja lalu, dan ada jarak yang selamat antara pelanggan yang makan di situ," katanya.

Selain itu, tambah Muhyiddin, untuk pastikan penjarakan sosial ketika pelanggan makan, Pak Salleh boleh letak notis di setiap meja hanya satu orang, dua orang atau tiga orang dibenarkan makan bergantung kepada saiz meja.

"Kalau meja kecil mungkin satu orang atau dua orang sahaja dibenarkan. Kalau meja besar, mungkin tiga orang atau empat orang. Ini Pak Salleh kena tentukan," katanya.

Muhyiddin juga memberikan beberapa lagi contoh pendekatan yang perlu diambil Pak Salleh untuk mematuhi PKPB

"Keduanya, buatkan garisan di lantai depan kaunter bayaran. Ukur garisan sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain. Ini untuk memastikan pelanggan beratur dengan jarak sekurang-kurangnya satu meter di depan atau di belakang pelanggan yang lain ketika mereka hendak membuat bayaran.

"Ketiganya, sediakan hand sanitizer di kaunter bayaran. Pelanggan yang dah bayar boleh gunakan hand sanitizer untuk bersihkan tangan. Sediakan juga sabun atau hand wash yang mencukupi di tempat basuh tangan.

"Ketiganya, beli penyembur pembersih meja yang mencukupi. Setiap kali selepas pelanggan makan, beritahu pekerja supaya bersihkan meja cepat-cepat sebelum pelanggan lain duduk.

"Keempat, beli face mask. Beri kepada pekerja dan pastikan mereka pakai face mask setiap masa. Pak Salleh pun kena pakai face mask.

"Kelima, pada hari pertama restoran dibuka, seboleh-bolehnya periksa suhu badan pelanggan sebelum dia dibenarkan masuk ke restoran. Boleh guna alat pengimbas suhu yang sesuai untuk periksa suhu badan pelanggan.

"Keenam, catat nama dan nombor telefon pelanggan serta tarikh dan masa mereka datang ke restoran. Ini penting kerana jika ada kes positif Covid-19 yang melibatkan salah seorang pelanggan, pelangganpelanggan lain yang datang pada hari itu boleh segera dikesan.

"Jadi, sebenarnya banyak kerja yang Pak Salleh kena buat sebelum boleh buka semula restoran," katanya.

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, bermula 4 Mei hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun, industri dan perniagaan tertentu yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal tidak dibenarkan beroperasi.

Majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang melibatkan perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

Aktiviti kegamaan seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumahrumah ibadat juga tidak dibenarkan.

Selain itu, perjalanan rentas sempadan negeri juga tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah sendiri setelah terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain.

Perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri tidak dibenarkan.

Buat masa ini, kata Muhyiddin, semua sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi masih belum dibuka.

Malaysia berada di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu bagi membendung Covid-19 dan sepatutnya dijadual berakhir 12 Mei ini.

Lihat Komen
ADS