Terjemahan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan beliau meminta untuk berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Tokyo baru-baru ini.

Penafian Dr. Mahathir itu terkandung di dalam surat yang ditulis bagi pihaknya oleh pembantunya, Sufi Yusof bagi membetulkan 'kesilapan fakta' dalam rencana yang ditulis oleh Timbalan Pengerusi New Straits Times (NST), Datuk Kalimullah Hassan yang disiarkan dalam akhbar Sunday Times Ahad lalu.

Penjelasan bekas Perdana Menteri itu disiarkan dalam ruangan surat pembaca akhbar NST hari ini. Menurut Sufi, Dr. Mahathir tidak meminta untuk berjumpa Abdullah ketika kedua-duanya menghadiri Persidangan Antarabangsa Nikkei di Tokyo baru-baru ini, sebaliknya Abdullah yang mahu bertemu dengan bekas Perdana Menteri itu.

Di dalam rencananya yang bertajuk ' Siapa sebenarnya mahu menjatuhkan siapa...', Kalimullah antara lain mendakwa Dr. Mahathir meminta untuk berjumpa Abdullah di Tokyo dan telah memanggil wartawan asing menghadiri sidang akhbarnya di Kuala Lumpur baru-baru ini bagi menyerang pentadbiran Abdullah.

"Sebenarnya apa yang berlaku adalah sebaliknya, 20 minit sebelum Dr. Mahathir meninggalkan hotel di Tokyo pada 26 Mei lalu, pihak ketiga memberitahu Perdana Menteri sedang dalam perjalanan untuk bertemu beliau

"Dr. Mahathir bersetuju dan mereka berdua bertemu selama kira-kira 10 minit sebelum Dr. Mahathir berangkat,"jelas Sufi.

Sufi juga menyatakan sidang akhbar yang diadakan oleh Dr. Mahathir pada 7 Jun lalu bukan berkenaan pertelingkahannya dengan Aabdullah.

" Sidang akhbar itu diadakan untuk mengumumkan Forum Keamanan Global Yayasan Kepimpinan Perdana yang akan diadakan pada 20-22 Jun ini. Media asing datang untuk tujuan tersebut.

"Bagaimanapun sebagaimana dalam sidang akhbar sebelum ini, wartawan asing telah mengambil kesempatan bertanyakan soalan tentang perkara lain,"tambahnya.

Sufi juga menjelaskan bahawa bekas Ketua Pengarah NST, Tan Seri Abdullah Ahmad tidak memegang apa-apa jawatan rasmi sebagai penasihat Dr. Mahathir ketika ini.

Di dalam kolumnya itu, Kalimullah turut menulis bahawa Abdullah yang dirujuknya sebagai 'penasihat' Dr. Mahathir telah megaturkan temujanji bagi wawancara bekas Perdana Menteri itu dengan malaysiakini.

"Mana-mana individu bebas memberi pandangan, pendapat dan nasihat kepada Dr. Mahathir. Ramai melakukannya secara sukarela tetapi itu tidak bermakna mereka menjadi 'penasihat'," jelas Sufi. Berita asal