Kit Siang saran Dr.M dilantik sebagai Senator
Terjemahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi disaran supaya melantik bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Senator.
Terjemahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi disaran supaya melantik bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Senator.
Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang berkata, sebagai seorang Senator, Dr. Mahathir akan mempunyai saluran yang tepat bagi menyuarakan pandangan, kritikan atau ketidakpuasaan hatinya.
Menurut beliau, segala pengalaman dan pandangan jauhnya sejak mengetuai negara selama 22 tahun amat berguna untuk negara dan rakyat.
"Tiada sebab mana-mana pihak perlu gentar untuk memberi Dr. Mahathir suara di Dewan Negara kerana perlantikan tersebut mungkin mendatangkan faedah besar kepada negara."
"Ia juga akan meningkatkan mutu dan keberkesanan peranan Dewan Negara,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Serentak dengan itu Lim juga mahu Dr. Mahathir bersikap telus untuk mendedahkan butir-butir lanjut tentang beberapa keputusan, dasar dan projek kontroversi yang dilaksanakan di bawah era pemerintahannnya.
Dr. Mahathir kebelakangan ini telah mengkritik beberapa keputusan yang diambil oleh penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Tindakan Dr. Mahathir itu telah mendapat kritikan daripada pelbagai lapisan pemimpin negara namun beliau tetap mempertahankan haknya bersuara dan menuntut semua soalan yang ditimbulkannya dijawab.
Bekas Perdana Menteri itu juga menegaskan segala kritikannya itu tidak bersifat peribadi walaupun beliau mengakui telah melakukan kesilapan kerana memilih Abdullah sebagai penggantinya.
Lim juga menyatakan, semua soalan yang ditanya oleh Dr. Mahathir itu perlu dijawab oleh kerajaan sekarang.
"Ada sesuatu ynag tidak kena sedang berlaku jika kerajaan Abdullah tidak menjawab soalan-soalan Dr. Mahathir itu. Walaupun Dr. Mahathir mungkin nampak kebudak-budakan apabila meminta jasanya dikenang oleh Abdullah, namun isu kepentingan awam yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Mentri itu perlu dijawab,"katanya.
Antara keputusan kerajaan yang dipersoalkan oleh Dr. Mahathir ialah keputusan kerajaan membatalkan pembinaan jambatan indah bagi menggantikan Tambak Johor, penjualan syarikat pengeluar motosikal MV Agusta oleh Proton dan penamatan kontrak bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Tan Seri Tengku Mahaleel Tengku Arif serta penyelewengan dalam pemberian isu permit import (AP) kereta. Berita asal

