Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Che Khalib Mohd Noh dipersalahkan sebagai punca berlakunya konfrontasi antara pekerja bawahan syarikat pembekal tenaga nasional itu dengan pihak pengurusan.

Kesatuan Pegawai-Pegawai Rendah TNB (KPPRTNB) mendakwa Che Khalib gagal memahami dan menguruskan perhubungan perusahaan dalam syarikat tersebut.

" Kami terpaksa mengambil pendekatan konfrontasi apabila pengurusan di bawah Datuk Che Khalib tidak menghormati perjanjian kolektif yang telah dipersetujui," kata Presiden kesatuan itu, Raja Hang Tuah Raja Iskandar.

Dalam satu kenyataannya, Raja Hang Tuah menjelaskan, KPPRTNB selama ini mengamalkan sikap sederhana dan menggunakan pendekatan perundingan bagi meyelesaikan segala masalah tetapi terpaksa turun berpiket kali ini apabila pihak pengurusan tidak bersikap rasional dan profesional.

Raja Hang Tuah mengeluarkan kenyataan tersebut bagi mengulas laporan sebuah akhbar mingguan semalam yang antara lain memetik kenyataan pihak pengurusan TNB yang menafikan berlakunya penindasan terhadap pekerja bawahan di syarikat utiliti itu.

Kenyataan pihak pengurusan TNB itu adalah sebagai reaksi kepada tindakan piket yang dianjurkan oleh kira-kira 700 ahli KPPRTNB yang terdiri daripada pekerja pembacaan jangka di hadapan bangunan ibu pejabat TNB, di Bangsar, Kuala Lumpur pada 9 Jun lalu.

Tindakan piket itu bagi memperotes tindakan pihak pengurusan TNB mencabul perjanjian kolektif (2005-2007) dengan KPPRTNB berkaitan perubahan faedah-faedah sedia ada bagi kumpulan pekerja pembacaan jangka yang telah dikuatkuasakan secara 'unilateral' sejak 2 Januari lalu.

Raja Hang Tuah berkata, kesan daripada perubahan itu, para pekerja berkenaan telah mengalami tekanan dalam menjalankan tugas kerana beban kerja telah bertambah dengan cara yang tidak munasabah.

Beliau berharap pengurusan TNB akan membatalkan arahan yang telah dikeluarkan itu kerana ia tidak sah dan melanggar undang-undang.

" Kembalikan hak pekerja dan kami boleh kembali ke meja perundingan demi kepentingan pengguna, pekerja dan para pemegang saham,"tegasnya.

Beliau juga menegaskan, piket pada Jumaat lalu itu yang dibuat mengikut Seksyen 40, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 adalah sah kerana dilakukan secara aman di bawah pengawasan pihak keselamatan.