Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Senario terburuk Bersatu boleh pecat Dr M, Mukhriz - Sumber

Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dijangka diadakan esok namun pengerusinya Dr Mahathir Mohamad dan timbalan presiden parti Mukhriz Mahathir tidak dijemput.

Beberapa sumber parti memberitahu Malaysiakini terdapat usaha menentang Dr Mahathir dan Mukhriz, dengan senario terburuk yang boleh mengakibatkan pemecatan kedua pemimpin ini.

Kem Muhyiddin Yassin telah mendapat alasan yang kuat untuk bertindak selepas Mahathir dan Mukhriz secara terbuka mengkritik keputusan presiden Bersatu itu meninggalkan PH dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama Umno, PAS, GPS dan parti-parti kecil lainnya.

Anggota MPT Bersatu Abu Bakar Yahya, yang berada di dalam kem penyokong Dr Mahathir membuat hantaran di media sosial mempersoalkan percaturan politik itu.

"Kami Anggota MPT Bersatu dijemput untuk hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

"Tapi dalam jemputan tersebut, Tun (Dr Mahathir) pengerusi dan timbalan (presiden) tidak dijemput.

"Agenda mesyuarat pun tidak dimaklumkan. Apakah mesyurat ini ada agenda untuk pecat-memecat?" Soal Abu Bakar (gambar, bawah).

Jemputan itu, yang dilihat oleh Malaysiakini, mengatakan mesyuarat tersebut akan berlangsung di bangunan Persatuan Alumni Universiti Malaya pada tengah hari esok.

Seorang sumber yang dekat dengan kem Mahathir bercakap kepada Malaysiakini dengan syarat enggan dinamakan, memberitahu MP Langkawi juga telah menghidu langkah itu.

"Sekiranya mereka benar-benar melakukan itu (memecat Mahathir dan Mukhriz), adalah tidak adil dan gila untuk melakukannya tanpa membenarkan kedua-dua pemimpin itu tampil membela diri mereka," kata sumber itu.

Mesyuarat sebelum mesyuarat 

Sumber parti yang lain pula memberitahu Malaysiakini bahawa anggota MPT Bersatu yang berpihak kepada Muhyiddin telah mengadakan mesyuarat berasingan semalam untuk menggariskan rancangan percaturan politik mereka dalam pertemuan esok.

"Mesyuarat semalam tidak mengundang Syed Saddiq Abdul Rahman, Marzuki Yahya, Tariq Ismail Mustafa dan lain-lain yang berpihak kepada Tun," kata sumber itu.

Sumber itu berkata pertemuan semalam bertujuan menggariskan agenda mesyuarat MPT esok dan kemungkinan keputusannya, dengan jangkaan bahawa pertemuan esok hanya untuk menuruti keputusan yang telah dibuat dalam mesyuarat semalam.

"Mesyuarat semalam untuk memutuskan keputusan yang akan dibuat esok," kata sumber itu.

Sumber parti menambah Muhyiddin hadir pertemuan itu tetapi pemimpin kanan Bersatu yang keluar Umno selepas PRU14 yang menerajui mesyuarat tersebut.

Antara agenda yang dikatakan bakal dibincang oleh pemimpin kanan Bersatu esok adalah penentuan nasib Mahathir dan Mukhriz sebagai pemimpin dan ahli parti.

Bagaimanapun, semua anggota MPT Bersatu dijemput hadir ke mesyuarat esok, termasuk pihak yang bersekutu dengan Mahathir. Cuma Mahathir dan Mukhriz sahaja yang tidak dijemput.

Sementara itu, anggota MPT Bersatu A Kadir Jasin, yang berpihak kepada Mahathir, berkata beliau tidak tahu-menahu sekiranya terdapat rancangan untuk bertindak terhadap Mahathir atau Mukhriz.

Jelasnya lagi, walaupun terdapat langkah untuk menyingkirkan Dr Mahathir dan Mukhriz, namun MPT Bersatu tidak berkuasa berbuat demikian.

"Jika menurut perlembagaan parti, majlis tertinggi tidak mempunyai kuasa untuk memecat ahli.

"Segala tindakan disiplin termasuk pemecatan mesti dirujuk kepada jawatankuasa disiplin," kata Kadir.

Desas-desus perubahan kerajaan Kedah

Menurutnya, beliau masih belum memutuskan untuk hadir mesyuarat itu lagi.

Spekulasi Bersatu bakal mengambil tindakan terhadap Mahathir dan Mukhriz berlaku di tengah-tengah langkah percaturan politik di Kedah dengan rancangan untuk menyingkirkan Mukhriz sebagai menteri besar negeri.

Awal hari ini, Adun PAS dan Umno di Kedah bertemu dan berbincang mengenai kemungkinan calon yang bakal menggantikan Mukhriz sebagai menteri besar.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan (gambar, bawah), yang juga menteri undang-undang, telah bertemu Ketua Polis Kedah Zainuddin Yaacob di ibu pejabat polis kontinjen negeri.

Langkah politik di Kedah berlaku selepas pesuruhjaya PAS negeri Ahmad Yahaya pada 7 Mei lalu berkata perubahan kerajaan di Kedah tidak dapat dielakkan lagi.

PAS mendakwa Mukhriz telah kehilangan sokongan lebih daripada separuh Adun Bersatu di Kedah.

Mukhriz yang juga timbalan presiden Bersatu, telah mengekalkan kerajaan PH di Kedah walaupun presiden parti Muhyiddin Yassin telah membawa Bersatu keluar dari gabungan itu untuk membentuk Perikatan Nasional bersama BN, PAS, GPS dan parti-parti kecil lain.

Mukhriz mempunyai majoriti rapuh di Kedah dengan 19 kerusi berbanding 17 kerusi yang kuasai oleh PAS dan Umno.

PH menyumbang 13 kerusi kepada pentadbiran Mukhriz yang merangkumi tujuh Adun PKR, empat Adun Amanah dan dua Adun DAP manakla Bersatu pula mempunyai enam kerusi DUN.

Muhyiddin telah memberikan lampu hijau untuk menggantikan pentadbiran PH kepada pemerintah PN di Johor, Melaka dan Perak tetapi masih belum bergerak di Kedah.

Bagaimanapun, perubahan kerajaan negeri di Kedah besar kemungkinan terjadi apalagi bapa Mukhriz, Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu, nampaknya turut melakukan langkah politik terhadap Muhyiddin.

Bersatu kini berpecah antara dua kem yang berpihak kepada Muhyiddin dan Mahathir.

Kerajaan PH runtuh pada akhir Februari setelah Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari gabungan itu dan bergabung bersama sekumpulan MP PKR yang berpaling tadah diketuai oleh bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Bersama-sama pembangkang PAS, Umno, GPS dan parti kecil lain mereka menubuhkan kerajaan persekutuan PN.

Bagaimanapun, Dr Mahathir telah membayangkan rancangannya untuk kembali menguasai Bersatu pada pemilihan parti akan datang dan membawa Bersatu keluar daripada kerajaan PN.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS