Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mesyuarat tanpa Dr M, Mukhriz: 6 pemimpin Bersatu mahu tindakan diambil

Enam pemimpin Bersatu dan ahli-ahlinya menulis surat kepada lembaga disiplin parti itu bagi menggesa siasatan dan tindakan diambil terhadap mereka yang memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi yang dijadualkan pada 11 Mei lalu.

Mesyuarat itu, yang kemudiannya ditunda, dijadual diadakan tanpa kehadiran  Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presidennya, Mukhriz Mahathir.

Menurut surat yang dilihat oleh Malaysiakini, enam pemimpin berkenaan mahu tindakan diambil terhadap mereka yang mengarahkan mesyuarat itu diadakan, yang disifatkan sebagai tidak sah dan melanggar perlembagaan Bersatu.

"Mesyuarat MPT yang dijadualkan itu juga tidak sah kerana dengan sengaja tidak menjemput dua individu yang wajib dijemput untuk mesyuarat iaitu pengerusi dan timbalan presiden, kerana dinyatakan dengan jelas mereka itu adalah keanggotaan MPT menurut fasal 13.2.1 dan 13.2.3 secara khusus," ujar surat yang ditulis oleh Timbalan Pengerusi Bersatu Kedah, Mejar Annuar Abdul Hamid bertarikh hari ini ( 12 Mei).

Beliau juga menegaskan Pendaftar Pertubuhan (ROS) melarang semua organisasi daripada melakukan sebarang aktiviti sehingga 30 Jun disebabkan oleh wabak Covid-19.

Anuar menuntut tindakan diambil terhadap setiausaha penganjur, kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya, yang didakwanya bertindak melampaui kuasanya dalam mengeluarkan notis pada 10 Mei berhubung mesyuarat berkenaan.

Ketika dihubungi, Anuar mengesahkan beliau membuat aduan bertulis kepada lembaga disiplin.

"Adalah aneh kamu tidak menjemput pengerusi dan timbalan presiden untuk menghadiri mesyuarat itu. Mesti ada agenda di sebalik mesyuarat itu," katanya kepada Malaysiakini.

Salah seorang pengadu, Sarafdeen Abdul Hamid, juga mengesahkan beliau memfailkan aduan berkenaan.

"Ya, itu daripada saya," katanya kepada Malaysiakini.

"Suhaimi tidak mempunyai kuasa untuk menghantar notis (memanggil mesyuarat itu)," katanya.

Suhaimi: Saya bertindak mengikut perlembagaan parti

Sementara itu, Suhaimi memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tidak mengetahui aduan yang dibuat terhadapnya tetapi mempertahankan tindakan mengeluarkan notis berkenaan.

"Saya boleh komen begini, apa tindakan yang saya lakukan semuanya berlandaskan perlembagaan parti, saya tahu sempadan dan tugasan saya," katanya.

Tanpa menyebut sebarang nama atau menjelaskan lebih lanjut, Suhaimi berkata beliau diarahkan oleh mereka dalam kepimpinan tertinggi untuk mengeluarkan notis itu dan Bersatu menerima lampu hijau untuk mengadakan mesyuarat pada 11 Mei.

"Sudah tentu, kita akan memohon kelulusan jika diperlukan (sebelum apa-apa) aktiviti diadakan. Kami hanya mengeluarkan notis itu setelah mendapat kelulusan," katanya.

Mesyuarat Majlis Tertinggi berkenaan ditangguhkan berikutan laporan media  terdapat usaha menentang Mahathir dan Mukhriz, yang juga mungkin menyaksikan kedua-dua beranak itu dipecat daripada Bersatu.

Bersatu kini berpecah antara kumpulan yang menyokong presiden parti, Muhyiddin Yassin dan mereka yang menyokong Mahathir.

Kumpulan Muhyiddin menentang Mahathir dan Mukhriz kerana kritikan terbuka mereka terhadap keputusan meninggalkan PH untuk bergabung bersama Umno, PAS dan beberapa parti lain.

Lihat Komen
ADS