Paling Popular
Terkini
story images
story images

Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dijangka akan diadakan esok telah ditunda.

Terdahulu, mesyuarat berkenaan dilaporkan akan berlangsung tanpa menjemput Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan timbalan presiden parti Mukhriz Mahathir

Pengumuman itu ekoran notis penangguhan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya kepada pimpinan tinggi parti tersebut.

“Saya seperti yang diarahkan memaklumkan, mesyuarat majlis pimpinan tinggi yang dijadualkan esok 11 Mei 2020 pada 12 tengah hari, ditangguhkan kepada tarikh lain yang akan dimaklumkan kelak,” kata Suhaimi melalui pemberitahuan yang dilihat Malaysiakini.

Anggota MPT Bersatu, A Kadir Jasin ketika dihubungi mengesahkan telah menerima notis tersebut beberapa jam selepas media melaporkan agenda mesyuarat esok berkemungkinan sebagai langkah menentang Mahathir dan anaknya Mukhriz, dengan senario terburuk boleh mengakibatkan pemecatan kedua pemimpin ini.

“Ya saya ada terima. Saya terima menerusi Whatsapp peribadi saya dari Setiausaha Kerja (Suhaimi),” katanya kepada Malaysiakini.

Selain itu, anggota MPT Bersatu Rais Hussin, yang pada awalnya berkata akan hadir mesyuarat berkenaan esok juga mengesahkan notis tangguhan tersebut.

“Kita perlu cari jalan penyelesaian,” katanya secara ringkas setelah ditanya mengenai perpecahan dalam Bersatu.

Percaturan pada mesyuarat semalam

Terdahulu, sumber parti yang lain pula memberitahu Malaysiakini bahawa anggota MPT Bersatu yang berpihak kepada Muhyiddin telah mengadakan mesyuarat berasingan semalam untuk menggariskan rancangan percaturan politik mereka dalam pertemuan esok.

"Mesyuarat semalam tidak mengundang Syed Saddiq Abdul Rahman, Marzuki Yahya, Tariq Ismail Mustafa dan lain-lain yang berpihak kepada Tun," kata sumber itu.

Sumber itu berkata pertemuan semalam bertujuan menggariskan agenda mesyuarat MPT esok dan kemungkinan keputusannya, dengan jangkaan bahawa pertemuan esok hanya untuk menuruti keputusan yang telah dibuat dalam mesyuarat semalam.

Kem Muhyiddin Yassin difahamkan bertindak sedemikian setelah Mahathir dan Mukhriz secara terbuka telah mengkritik keputusan presiden Bersatu itu untuk meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan Umno, PAS, GPS dan parti-parti kecil lainnya.

Bersatu kini dilihat berpecah dua kepada kem Muhyiddin dan kem Mahathir.

Kerajaan PH runtuh Februari lalu setelah Muhyiddin membuat keputusan untuk mengeluarkan Bersatu dalam pakatan tersebut dan membentuk gabungan bersama pembelot PKR yang diketuai bekas timbalannya Azmin Ali.

Bersama pembangkang, gabungan tersebut membentuk kerajaan PN. 

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS