Polis siasat dakwaan menteri agama langgar PKP
Kertas enkuiri polis (KEP) telah dibuka untuk tujuan siasatan awal terhadap dakwaan menteri agama Zulkifli Mohamad Zulkifli Mohamad melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Kajang Mohd Zaid Hassan berkata dua laporan diterima mereka setakat ini dan rakaman percakapan pengadu telah dibuat.
“Keterangan bagi pihak lain akan diambil setelah mendapat arahan daripada pihak IPK (ibu pejabat kontinjen) Selangor,” katanya.
Berdasarkan beberapa laporan polis yang dilihat Malaysiakini, pengadu berkata bekas mufti Wilayah Persekutuan itu mengundang beberapa individu ke pejabatnya di Putrajaya ketika PKP.
Pengadu mendakwa terdapat pertemuan dengan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Fathul Bari Mat Jahya dan dua pensyarah universiti, Dr Rozaimi Ramle serta Dr Ahmad Kamilin Jamilin.
Malaysiakini telah cuba menghubungi Zulkifli bagi mendapatkan maklum balasnya, namun sehingga kini masih gagal mendapat sebarang respon.
Pada 28 April lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali dijatuhi hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Gerik kerana melanggar PKP dengan menghadiri satu jamuan di sebuah pusat tahfiz di Perak.
Turut dikenakan hukuman sama ialah exco Perak Razman Zakaria serta 13 individu lain.
Pada 5 Mei lalu, anak presiden Umno, Nurulhidayah Ahmad Zahid dan suaminya Saiful Nizam Mohd Yusoff didenda RM800 selepas didapati bersalah melanggar PKP pada 20 April lalu.

