Kelab Senator Malaysia membidas pihak pembangkang yang didakwanya mahu mengambil kesempatan daripada krisis antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

etiausaha Agungnya, Datuk Syed Ali Al-Habshee berkata, dakwaan kononnya Umno mahu memecat Dr Mahathir hanya dakyah pembangkang semata-mata.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Cheras berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa bahawa Umno akan memecat Dr Mahathir tidak lama lagi.

Dalam sidang media di Kota Bharu semalam, Husam mendakwa, Abdullah akan membawa usul untuk memecat Dr Mahathir dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno Isnin ini.

"Tidak menjadi kesalahan kepada Dr Mahathir untuk mengkritik kerajaan kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan kebebasan bersuara," kata Syed Ali.

Sebagai sebuah negara demokrasi, katanya, kerajaan perlu mendengar pandangan atau kritikan Dr Mahathir sebelum memutuskan sama ada pandangan bekas Perdana Menteri itu berasas atau sebaliknya.

"Kerajaan tidak boleh menyekat Tun Dr Mahathir daripada bercakap kerana itu merupakan hak beliau sebagai seorang warga negara," katanya ketika dihubungi hari ini.

Syed Ali juga menegaskan pemimpin PAS sepatutnya tidak campurtangan dalam urusan parti lain dengan membuat spekulasi yang tidak berasas.

"PAS memang gemar melihat Dr Mahathir dan Pak Lah bergaduh kerana mereka mahu mengambil kesempatan untuk kepentingan politik mereka," ujarnya.

Sokongan padu

Beliau juga menegaskan bahawa Kelab Senator akan memberi sokongan padu terhadap sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan mengenai isu Dr Mahathir.

Sementara itu, pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohamad Agus Yusof pula menyifatkan kenyataan Husam itu sebagai kenyataan politik semata-mata.

Katanya, Husam cuma mahu melihat reaksi orang ramai jika Umno benar-benar memecat Dr Mahathir.

Mohamad Agus berkata, adalah tidak mudah bagi Umno untuk memecat Dr Mahathir kerana beliau merupakan seorang negarawan dan sebahagian pemimpin utama Umno yang ada pada hari ini mendapat bimbingannya.

Beliau berkata, jika Umno memecat Dr Mahathir, ini bermakna parti itu menolak kritikan yang dilemparkan kepada mereka.

"Parti yang tidak boleh menerima teguran dan kritikan dari ahlinya sendiri adalah tidak relevan untuk menjadi parti pemerintah," katanya lagi.