Malaysiakini
BERITA

Dr M khuatir, tertanya-tanya keputusan lepas tanpa bebas Riza Aziz

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Mei 2020, 1:35 tengahari

Dr Mahathir Mohamad berkata beliau "tertanya-tanya" dengan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Riza Aziz, anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, dalam kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB.

"Adakah kita di masa hadapan, kalau ada seorang pencuri, dia curi duit dan lepas itu dia kena tangkap, dihadap ke mahkamah, dia kata tak apalah, duit yang saya curi itu saya bagi balik lah.

"Takkanlah kita nak kata okey lah, kita ambil duit itu balik, dia lepas. Sebagai orang yang tak pandai dalam bidang undang-undang, saya tertanya-tanya.

"Saya takut ada orang yang curi duit banyak. Lepas itu asas dia bagi balik, dia terlepas, susahlah kita. Dia boleh bebas balik," kata bekas perdana menteri itu dalam satu rakaman yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Beliau mengulas persetujuan yang dicapai pihak Riza dengan pendakwaan dalam lima pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah AS$248 juta (RM1.08 bilion).

Riza Aziz

Dalam persetujuan itu, Riza dilepas tanpa dibebaskan atas pertuduhan itu dengan syarat memulangkan semula aset dari luar negara dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta)

Jika Riza gagal untuk mematuhi perjanjian tersebut, maka pendakwaan berhak untuk mengenakan semula pertuduhan tersebut dan mendakwanya di mahkamah.

Pada masa sama Mahathir berkata beliau tidak mempersoalkan keputusan mahkamah dan percaya ia dibuat berasaskan undang-undang, tetapi pada masa sama sebagai anggota Parlimen, ia menunjukkan undang-undang mungkin perlu dipinda.

"Saya khuatir ada banyak lagi pencuri dalam negara kita dan kalau kita pegang kepada asas ini, mereka akan terlepaslah.

"Dia curi berbillion-billion...Dia bagi balik kepada kerajaan. Dia kata kepada kerajaan, 'Nah, duit yang aku curi. Sekarang ini, jangan ambil tindakan terhadap aku.' Kita pun kata, 'Sudah bagi balik duit okey lah'.

"Barangkali orang ramai bersetuju dengan pendapat ini (keputusan itu), tapi saya rasa susah sedikit nak terima," katanya lagi.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.