Paling Popular
Terkini

Ketua Pemuda PKR (AMK) Akmal Nasir berpendapat antara sebab persidangan parlimen kali ini disingkatkan kerana Perdana Menteri Muhyiddin Yassin takut dengan bayang-bayangnya sendiri, sekiranya beliau tidak mendapat sokongan MP daripada Perikatan Nasional (PN).

Beliau juga berkata, kesetiaan ahli parlimen di kalangan Umno terhadap Muhyiddin juga samar-samar apabila terdapat beberapa MP parti Melayu itu yang mengkritik presiden Bersatu secara terbuka sebelum ini, namun, “mengunci mulut” selepas diberikan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Katanya, sebagai contoh MP Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dilantik sebagai pengerusi Prasarana.

“Mungkin persepsi di luar seolah-olah ini pertembungan dalaman Bersatu antara pengerusi (Dr Mahathir Mohamad) dan presiden (Muhyiddin).

“Tapi pada masa sama, saya punya bacaan, ini adalah kerana takut dengan bayang-bayang sendiri sebab Perikatan Nasional akan runtuh apabila orang mereka sendiri tinggalkan Perikatan Nasional,” katanya ketika ditemubual oleh Malaysiakini di pejabatnya di Johor Bahru pada Jumaat, 15 Mei lalu.

Akmal berkata demikian selepas diminta mengulas soalan sekiranya tempoh sidang Dewan Rakyat disingkatkan disebabkan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin dan jika tidak berkenaan usul itu, adakah kerana khuatir undi rang undang-undang (RUU) kerajaan PN akan dikalahkan sekiranya ia boleh dibentangkan.

Kerajaan PH runtuh pada akhir Februari selepas Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari gabungan itu dan bergabung bersama sekumpulan MP PKR yang berpaling tadah diketuai oleh bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Bersama-sama pembangkang PAS, Umno, GPS dan parti kecil lain mereka menubuhkan kerajaan persekutuan PN.

Ahli parlimen Johor Bahru itu juga berkata, sehingga kini tiada siapa yang tahu siapa yang sebenarnya berada dalam PN selepas gabungan itu terbentuk.

“Maksudnya ahli parlimen dalam Umno itu sendiri tidak terikat dengan Perikatan Nasional.

“Kalau benar dari segi the pledge of loyalty ataupun (ikrar) kesetiaan kepada kerajaan itu, ianya tidak mengikat parti Umno ataupun Muafakat Nasional itu dengan Perikatan Nasional because they’re not bound together (kerana mereka tidak terikat bersama),” katanya.

Katanya, sokongan majoriti terhadap Muhyiddin itu sendiri akan terus dipertikaikan kerana sokongan terhadapnya hanya ditunjukkan oleh ahli parlimen Umno yang diberikan jawatan.

Sebaliknya, Akmal berkata MP yang tidak diberikan jawatan tidak diketahui status sokongan terhadap Muhyiddin, malahan ada yang menyerang beliau.

“Jadi yang ini sebenarnya, parlimen itu dipendekkan, bacaan saya sebab ketakutan bayang-bayang sendiri di kalangan mereka sebab kalau dari segi kekuatan atau pun pertembungan dengan Pakatan Harapan, mereka sedar bahawa yang tinggal dalam Pakatan Harapan ini memang betul-betul bersama dengan Pakatan Harapan,” kata Akmal.

Adakah PAS, Umno sokong?

Mengulas lanjut, Akmal berkata sekiranya berlaku undi tidak percaya di Dewan Rakyat, belum tentu Muhyiddin akan mendapat sokongan daripada parti dalam gabungan Muafakat Nasional (MN) itu.

“Kalau berlaku undi tak percaya, adakah PAS dan Umno akan berpihak kepada Muhyiddin? Saya tak rasa begitu.

"Mereka akan fikir yang mereka lebih bagus dari Muhyiddin, mereka akan fikir Haji Hadi Awang (presiden PAS) sepatutnya jadi perdana menteri atau timbalan perdana menteri.

"Mereka (PAS dan Umno) akan adakan pilihan lain," jelasnya.

Sebelum ini, Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof memaklumkan Muhyiddin memberitahu bahawa kerajaan memutuskan tiada sidang diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong menyampaikan titah diraja pada pagi 18 Mei ini.

Keputusan itu sekali gus menggagalkan cubaan Mahathir membawa usul tidak percaya terhadap Muhyiddin. Usul berkenaan sebelum ini diterima oleh Mohamad Ariff.

Kata Akmal lagi, PAS dan Umno yang berada dalam PN kini kemungkinan merasakan dengan melalui pilihan raya mengejut, mereka dapat menyingkirkan Muhyiddin begitu sahaja memandangkan mereka tidak mempunyai kesetiaan terhadap MP Pagoh itu.

Menurutnya, PAS dan Umno akan mendahulukan kepentingan gabungan parti mereka, Muafakat Nasional dan Muhyiddin pada masa sama juga tidak yakin bahawa PN akan memberikan sokongan terhadapnya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS