Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Tanya juga Dr Mahathir, Latheefa
Diterbitkan:  May 29, 2020 12:49 PM
Dikemaskini: 7:13 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak menafikan keterlibatannya dalam laporan yang mendakwa syarikat siber Senpai Technologies menandatangani perjanjian bernilai AS$1.5 juta untuk membekalkan kemudahan intipan kepada polis Cawangan Khas (SB) Malaysia.

Menurut dokumen mahkamah di Israel ia dikatakan bagi membantu perdana menteri ketika itu mengawasi pembangkang menjelang pilihan raya umum ke-14.

"Saya bukan menteri dalam negeri masa itu dan saya tak pernah suruh atau pilih apa yang patut dibeli oleh SB. Mereka putuskan sendiri.

"Adakah kerja saya untuk menilai dan mencari software untuk beli," soal Najib pada suatu kenyataan kepada Malaysiakini.

Ketika pembelian yang didakwa berlaku itu, Zahid Hamidi memegang jawatan menteri dalam negeri.

Ulasan bekas perdana menteri susulan laporan laman berita teknologi Israel CTech yang menyebut kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian itu bagi mendapatkan sistem untuk mengumpulkan maklumat dan menganalisis dana kegiatan orang awam.

CTech adalah laman berita teknologi yang dikendalikan oleh Calcalist. Ia merupakan sebahagian daripada Yedioth Ahronoth Group, yang juga menerbitkan Yedioth Ahronoth, surat khabar dengan edaran paling luas di Israel.

Dokumen-dokumen berkaitan diperoleh dan disemak oleh Calcalist, sebuah harian kewangan terkemuka Israel.

Perjanjian itu dilapor ditandatangani pada April 2018, sebulan sebelum BN yang dipimpin Najib ketika itu kecundang kali pertama dalam sejarahnya.

Rundingan itu menggunakan kod nama “Project Magnum.”

Bagaimanapun, kata Najib pada hari ini, ketika April 2018, kerajaan BN telah pun bubar dan "kami sibuk dalam kempen PRU14 masing-masing."

"Pembelian Fasa 1, jika benar-benar berlaku, tak libatkan Pejabat Perdana Menteri pun," katanya lagi.


BACA BERKAITAN: Syarikat Israel bantu Najib intip pembangkang pada 2018 - Laporan


Sementara itu, Najib mendakwa fasa dua rundingan antara Senpai dan agensi kerajaan Malaysia di bawah pentadbiran PH adalah sebanyak tiga kali ganda daripada perjanjian intipan yang ditandatangani pada April 2018 sebelum PRU14.

"Pembelian Fasa 2 setahun selepas PRU14 dipetik sebagai bernilai 3 kali lebih besar dan melibatkan SB, Pejabat Perdana Menteri dan SPRM (era PH).

"Tanyalah bos Pejabat Perdana Menteri (ketika itu Dr Mahathir Mohamad) dan juga bos SPRM (Latheefa Koya) setahun selepas PRU14 itu juga," kata Najib lagi.

Pada pertengahan tahun lalu, syarikat tersebut dilaporkan sedang membincangkan kemungkinan kontrak baru dengan polis Cawangan Khas Malaysia, yang mempunyai implikasi baru selepas kekalahan Najib pada PRU14.

Objektif pengawasan dibayangkan akan berubah selepas pilihan raya daripada penyiasatan politik kepada penyiasatan terhadap jenayah-keganasan, maklum pengasas dan ketua jualan Senpai, Roy Shloman merujuk "Magnum" dalam e-mel yang dikirimkan kepada pengasas bersama Guy David, Omri Raiter, dan Eric Banoun pada 10 Jun 2019.

"Seperti yang kamu tahu, selepas pilihan raya banyak perkara berubah dan menjadi sedikit rumit," tulis Shloman yang menjelaskan akan melakukan perjalanan ke Kuala Lumpur "untuk bertemu klien (secara bersemuka), mengadakan sesi soal jawan dan menyediakan mereka beberapa panduan (tip) dan helah (trick).

Dalam cadangan fasa dua perjanjian selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada Mei 2018, Banoun menghitung rundingan itu dianggarkan bernilai antara AS$300,000-AS$ 400,000 daripada SB, antara AS$2 juta dan AS$2.5 juta daripada Pejabat Perdana Menteri, antara AS$800,000 dan AS$2.2 juta daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan jumlah yang serupa daripada pasukan polis.

Lihat Komen
ADS