Mahkamah Rayuan tidak akan membuat keputusan sama ada wira Everest M Moorthy telah menganut Islam atau mengamalkan agama Hinda pada masa kematiannya.

Sebaliknya, ia akan hanya memutuskan sama ada permohonan isterinya S Kaliammal untuk mendapatkan perintah muktamad mengenai status keagamaan suaminya, akan didengar oleh mahkamah sivil atau mahkamah syariah.

Hakim Mokhtar Sidin, Datuk Denis Ong dan Datuk Abdul Aziz Mohamad memberitahu pihak yang membuat permohonan tersebut bahawa mahkamah berkenaan akan hanya mendengar hujah mengenai isu bidangkuasa dan bukan merit kes tersebut.

"Satu-satunya persoalan untuk diputuskan ialah mengenai persoalan bidangkuasa. Merit isu tersebut tidak terdapat dalam penghakiman Mahkamah Tinggi. Jika hendak bersetuju bahawa mahkamah sivil mempunyai bidangkuasa, maka kita perlu merujuknya semula kepada Mahkamah Tinggi untuk mendengar soal meritnya," kata Mokhtar.

Mengambilkira kepentingan kes tersebut, Mokhtar menasihatkan semua pihak terbabit supaya mengemukakan hujah bertulis yang kukuh mengenai isu berkenaan supaya mahkamah 'tidak terlepas pandang mana-mana fakta'.

"Saya tahu ini adalah satu isu penting dan kita perlu menyelesaikannya demi masa untuk depan. Kami perlu berhati-hati dalam penghakiman kami dan kerana itulah kami menjemput semua pihak memberi hujah bertulis untuk kami pertimbangkan," tambahnya.

Mahkamah juga mengingatkan semua pihak bahawa isu Artikel 121 (1)(A) Perlembagaan Persekutuan yang membincangkan mengenai bidangkuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah mesti turut dimasukkan ke dalam hujah mereka.

Ketika memberi tempoh empat minggu kepada mereka untuk mengemukakan hujah bertulis dan jawapannya, Mokhtar membayangkan mahkamah mungkin membuat keputusan September ini. Beliau kemudiannya menangguhkan kes itu ke tarikh yang belum ditetapkan lagi.

Kalliammal merayu terhadap penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Raus Sharif yang memutuskan bahawa mahkamah berkenaan tidak mempunyai bidangkuasa untuk menyemak semula keputusan mahkamah syariah berhubung status suaminya menganut Islam.

Selain Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan kerajaan Malaysia, Kalliammal juga menamakan Ketua Pengarah Hospital Kuala Lumpur sebagai responden kerana menyerahkan mayat Moorthy kepada majlis tersebut untuk dikebumikan mengikut Islam.

Kita manusia biasa

Dalam prosiding ringkas hari ini, M Manoharan yang menjadi peguam utama Kaliammal, memberitahu mahkamah bahawa pelanggannya amat mengambil berat tentang keputusan kes tersebut.

"Padanya, suaminya itu adalah seorang penganut agama Hindu," katanya.

Mokhtar: Tiada apa yang boleh kami lakukan. Kami hanyalah manusia biasa dan kami perlu menimbang dan membuat keputusan yang cermat. Ia adalah kes penting untuk generasi akan datang.

Manoharan: Ianya juga penting kepada perayu...terdapat mayat seorang Hindu yang disemadikan di perkuburan Islam.

Ong: Apakah maksud anda?

Manoharan: Kami hanya mahu menekankan pentingnya kes ini.

Ketika ditemui kemudiannya, Manoharan berkata, pihak perayu bercadang memanggil saksi sekiranya kes berkenaan dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi.

"Jika Mahkamah Rayuan memutuskan mahkamah sivil mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan tersebut, maka kami akan memanggil saksi-saksi, termasuk dari pihak berkuasa agama bagi membuktikan bahawa Moorthy mengamalkan agama Hindu ketika kematiannya," tambah beliau. Terjemahan