Ketua pergerakan wanita Umno, Datin Seri Rafidah Aziz menafikan berlaku sebarang perpecahan dalam parti itu dan menyifatkan dakwaan itu fitnah semata-mata.

Beliau berkata pelbagai dakwaan dan fitnah seumpama itu sengaja dilemparkan oleh pihak tertentu bagi mengelirukan rakyat kerana mahu menangguk di air keruh.

"Pihak terbabit merasakan penting untuk mengeluarkan dakyah kerana beranggapan sekarang adalah masa terbaik menabur fitnah agar rakyat membenci kerajaan,"katanya selepas menyampaikan Pingat Jasamu Dikenang dan Anugerah Usahawan Jaya peringkat Parlimen Kuala Kangsar semalam.

"Parti Umno sudah terlalu matang dan mampu menangani sebarang masalah yang akan menjejaskan parti dan perkara ini bukan sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata Umno telah banyak mengalami pelbagai masalah termasuk perpecahan sebelum ini dan ia dapat diselesaikan serta semakin mengukuhkan parti dengan ketiga-tiga sayap iaitu Wanita, Puteri dan Pemuda.

Rafidah berkata, Wanita Umno akan menjelaskan secara terperinci kepada rakyat pelbagai isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu di peringkat akar umbi parti kerana tidak mahu anggota parti keliru dengan apa yang digembar-gemburkan.

Beliau berkata, pelbagai dakwaan dan fitnah yang dilemparkan kepada pemimpin negara akan mengelirukan rakyat dan boleh menjejaskan sokongan padu yang diterima oleh kerajaan jika ia tidak ditangani.

"Ini keputusan yang dicapai oleh barisan exco Pergerakan Wanita Umno yang bermesyuarat pada Sabtu lepas dan kita telah mengarahkan pemimpin wanita di peringkat bahagian memberi penjelasan tersebut," jelasnya.

Menurut laporan Bernama, antara penjelasan yang akan diberikan adalah berhubung isu ekonomi negara, Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) serta dakwaan kononnya berlaku perpecahan dalam Umno.

Rafidah turut menegaskan pihak terbabit yang cuba mengabui mata rakyat merupakan golongan yang mengkhianati rakyat sendiri.