Malaysiakini
BERITA

Redzuan cuba pujuk Dr M kerjasama dengan Muhyiddin ketika ziarah raya

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Mei 2020, 1:42 tengahari

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Redzuan Md Yusof mengakui bahawa dia bertemu dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) pagi semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata pertemuan itu hanya merupakan ziarah sempena Hari Raya Aidilfitri.

Redzuan berkata, dalam kunjungannya itu, beliau berusaha memujuk Mahathir itu untuk bekerjasama dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi membangunkan semula negara, berikutan wabak Covid-19.

"Ya memang betul saya berjumpa Tun (Mahathir). Saya jumpa di YKP lebih kurang jam 9 pagi. Saya boleh berjumpa selepas mendapat pelepasan daripada MKN (Majlis Keselamatan Negara), sebab saya negatif (Covid-19).

"Pertemuan itu perjumpaan biasa. Ziarah sempena Aidilfitri. Kita kawan baik, kawan lama. Tidak ada bincang soal politik.

"Saya nasihat dan mengajak Tun supaya sama-sama bantu Muhyiddin sebagai 'kawan-kawan' untuk membina semula negara sebab kita sedang dilanda Covid-19. Nampak Tun positif dengan nasihat itu.

"Pertemuan itu juga bukan seperti dilaporkan media yang saya akan tinggalkan PN (Perikatan Nasional). Itu tidak betul. Itu semua fitnah orang yang ada kepentingan, yang nak burukkan saya," katanya seperti dilapor BH Online.

Semalam, terdapat spekulasi mengatakan bahawa Redzuan, yang merupakan ahli Parlimen Alor Gajah dan Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh, akan menyatakan sokongan mereka terhadap Mahathir.

Namun, perkara tersebut tidak berlaku.

Sebelum ini, Bersatu telah membatalkan keahlian Mahathir, timbalan presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir; Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta anggota majlis tertinggi Bersatu, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah.

Keputusan itu dibuat kerena mereka duduk di blok pembangkang semasa sidang Dewan Rakyat 18 Mei lalu.

Berdasarkan status quo buat masa ini, Muhyiddin memperoleh sokongan 113 ahli parlimen, iaitu majoriti dua kerusi daripada 222 anggota parlimen di Dewan Rakyat.

Pada Februari lalu, Mahathir mengambil keputusan meletak jawatan selaku perdana menteri ketujuh susulan 'Langkah Sheraton' yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Pada 1 Mac, Muhyiddin diangkat sebagai perdana menteri Malaysia kelapan selepas mendapat sokongan majoriti anggota parlimen, dengan membentuk kerajaan PN bersama BN, PAS, dan GPS bagi membentuk kerajaan baru menggantikan PH.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.