Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR sokong langkah 'peralihan kuasa' PH
Diterbitkan:  May 31, 2020 6:19 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR hari ini menyatakan pendirian untuk menyokong pengukuhan Pakatan Harapan (PH), terutamanya dalam langkah berkaitan “peralihan kuasa”.

PKR bagaimanapun tidak menjelaskan lanjut tentang langkah “peralihan kuasa” yang dinyatakan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataaan itu dikeluarkan ekoran mesyuarat khas oleh MPP PKR untuk membincangkan “beberapa isu mutakhir” termasuk berkenaan usaha membendung penularan wabak Covid-19 serta kesan terhadap masyarakat serta ekonomi negara.

“Memandangkan kesan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang amat meluas termasuk terhadap pendapatan dan pekerjaan, MPP akan mengusahakan penggubalan dasar-dasar terutama berhubung penempatan semula tenaga kerja, usaha memangkin pertumbuhan bagi sektor ekonomi paling terjejas atau yang berpotensi tinggi, penyelesaian masalah akses pendidikan, serta perkara-perkara lain ...

“MPP turut menyatakan pendirian parti untuk terus mengukuhkan Pakatan Harapan, dan terutama di dalam langkah-langkah berkait peralihan kuasa.

"PKR akan terus bersama Pakatan Harapan,” kata pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil dalam kenyataan tersebut.

 

Timbul spekulasi sebelum ini yang mengatakan PH, yang tersingkir daripada pentadbiran pusat Februari lalu, mempunyai bilangan yang cukup untuk mencabar keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh bekas parti komponennya sendiri, iaitu Bersatu.

Pemimpin terkemuka dalam kalangan mereka yang rapat dengan Mahathir dan Anwar berkata kepada Malaysiakini, kedua-dua tokoh itu yakin PN tidak lagi mempunyai majoriti untuk menjadi kerajaan dan oleh itu saling bersaing untuk membentuk gabungan baru.

Kerajaan PH tumbang Februari lalu selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa parti itu keluar daripada PH bersama beberapa ahli parlimen PKR, termasuk bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Bersatu membentuk kerajaan PN yang baru bersama Umno, PAS dan disokong oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) serta wakil bebas.

Berdasarkan susunan kerusi pada persidangan Dewan Rakyat 18 Mei lalu, kerajaan PN diterajui Muhyiddin mempunyai majoriti tipis, iaitu dua kerusi berbanding PH.

Lihat Komen
ADS