Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tingkap kereta kena pecah, ketua AMK P Pinang syak ada motif politik

Ketua Pemuda PKR (AMK) Pulau Pinang Fahmi Zainol membuat laporan polis ekoran tingkap keretanya dipecahkan pagi ini.

Fahmi menyuarakan kebimbangannya terhadap serangan ke atas kereta yang diletakkan di hadapan rumahnya di Seberang Jaya itu, dan mengesyaki ia bermotifkan politik.

“Saya tidak tahu tindakan ini dari mana pihak, cuma saya yakin ia bermotifkan politik,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya, serangan itu mungkin berhubung kait dengan beberapa kenyataan “agak kasar” yang dibuatnya di beberapa media sebelum ini.

“Cuma saya tidak mahu menuduh mana-mana individu,” tambahnya.

Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, Fahmi berkata dia menyedari tingkap hadapan keretanya dipecahkan ketika hendak keluar dari rumah pada kira-kira jam 9 pagi ini.

Fahmi Zainol

Dia turut mengesyaki pelaku menggunakan bata kerana mendapati terdapat batu-bata berdekatan dengan keretanya itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Jaya Tengah Shafee Abd Samad mengesahkan polis telah menerima laporan Fahmi itu, dan berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Peruntukan itu berkaitan perlakuan khianat yang menyebabkan kerugian berharga RM25 atau lebih, dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara antara satu ke lima tahun, denda, atau kedua-duanya.

“Kes ini sedang disiasat untuk mengesan suspek,” kata Shafee kepada Malaysiakini.

Baru-baru ini, Fahmi mengkritik dakwaan oleh Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin yang berkata bahawa langkah kerajaan Pulau Pinang menggugurkannya daripada blok penyokong kerajaan sebagai berat sebelah dan bertentangan dengan prinsip demokrasi.

Fahmi turut menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menguatkuasakan undang-undang antilompat parti terhadap dua Adun Bersatu yang menarik sokongan mereka terhadap kerajaan negeri, agar kerusi dua Adun berkenaan dikosongkan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan apakah serangan ke atas keretanya itu mempunyai hubung kait dengan kenyataan-kenyataan yang pernah dikeluarkannya.

Sementara itu, pemangku pengerusi PKR Pulau Pinang Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata pihak yang terlibat perlu diheret ke muka pengadilan, tanpa mengira apa pun motif di sebalik tindakannya.

“Setiap warganegara Malaysia wajib mendukung undang-undang negara dengan penuh rasa tanggungjawab.

“PKR Pulau Pinang mengecam perbuatan khianat ini sekeras-kerasnya dan menggesa supaya kejadian seumpama ini tidak diulangi oleh mana-mana individu atau kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lihat Komen
ADS