Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Susulan pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) atas pembukaan kembali sekolah dengan garis panduan yang ditetapkan, beberapa mahasiswa serta pensyarah turut menggesa perkara yang sama dilaksanakan di institusi pengajian tinggi (IPT).

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Atira Khalisha Nor Adnan berkata IPT perlu dibuka kerana terdapat beberapa subjek yang memerlukan interaksi bersama pensyarah secara berhadapan.

“Bagi saya kerajaan atau pihak universiti perlu membuka universiti seperti biasa dengan adanya SOP.

“Hal ini sebab, adanya subjek-subjek yang memerlukan pelajar untuk belajar di studio. Jadi, disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) ini, pembelajaran tersebut tidak dapat dijalankan dan pelajar tahun akhir juga tidak mempunyai pengalaman di industri (internship),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Senada dengan Atira, penuntut sebuah IPT awam Ammierul Mukminin Mohammed turut berkata pembelajaran atas talian – yang kini dilaksanakan oleh semua tenaga pensyarah kepada pelajar- tidak kondusif.

“Memandangkan sekolah bakal dibuka seperti biasa, maka pusat pengajian tinggi perlulah dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) agar mahasiswa dapat meneruskan pengajian seperti biasa.

“Kerana pembelajaran atas talian tidak kondusif serta kurang efektif kepada mahasiswa terutamanya yang berasal dari luar bandar,” katanya.

Selain itu, Pengerusi Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Ahmad Farhan Rosli turut menggesa hal yang sama dan mencadangkan IPT mengutamakan penuntut kursus tahun akhir untuk kembali menyambung pengajian terlebih dahulu.

Pengajian atas talian sampai 31 Dis

“Kami memang harap universiti dibuka tetapi lebih bagus bagi mematuhi SOP kita berikan keutamaan kepada pelajar tahun akhir yang perlu menyiapkan projek mereka ataupun thesis supaya dapat menamatkan pengajian.

“Kalau kita lihat, semester terakhir ini antara yang paling sukar, kerana mereka memerlukan banyak konsultasi dengan pensyarah secara berhadapan,” katanya lagi.

Hari ini, KPM telah mengeluarkan garis panduan bagi pembukaan sekolah baru.

Bagaimanapun, hanya pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam akan dibenarkan untuk kembali ke sekolah apabila ia dibuka semula. Sementara yang lain pula akan menjalani pembelajaran dari rumah.

Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad telah memaklumkan bahawa pengajian di universiti awam akan diadakan melalui atas talian sehingga 31 Disember 2020.

Sementara itu, pensyarah Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kartini Aboo Thalib (gambar, bawah) berkata pembukaan semula IPT boleh dipertimbangkan sekiranya selepas 9 Jun nanti perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) berakhir dengan selamat.

Bagaimanapun, jelas Kartini, jika penularan masih pada tahap bahaya, pihak pensyarah akan akur dan meneruskan pembelajaran atas talian kepada pelajar.

“Lepas 9 Jun jika semua keadaan aman dan selamat, universiti boleh buka kerana pengajaran berhadapan bersama pelajar adalah lebih berkesan.

“Tetapi jika rantaian Covid-19 masih menjadi ancaman dan PKPB masih berkuatkuasa universiti akan patuh, dan pengajaran atas talian boleh diteruskan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pensyarah kanan di Jabatan Komunikasi Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Dr Norbaiduri Ruslan mencadangkan IPT dibuka namun hanya tertakluk kepada fakulti tertentu.

“Kebanyakan kelas boleh dijalankan secara atas talian tetapi bagi fakulti yang mengguna pakai makmal, bengkel dan studio garis panduan tambahan untuk memastikan keselamatan dan amalan terbaik dipraktikkan dan dipantau,” katanya lagi.

Gambar hiasan: Pengajian secara atas talian.

Selain itu, tenaga pengajar dari UiTM Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli pula berpendapat bahawa pengajian atas talian adalah perkara terbaik bagi situasi negara yang melanda Covid-19.

“Dalam hal berkaitan dengan universiti dan SOP, pihak KPT telah pun memberikan panduan iaitu kelas sehingga akhir tahun adalah pembelajaran menerusi atas talian. Ini sebenarnya adalah langkah yang sewajarnya memandangkan situasi semasa yang melibatkan Covid-19.

"Pekeliling yang diberikan oleh KPT serta garis panduan yang ditambah baik oleh setiap universiti adalah mencukupi. Pada ketika ini pendekatan pengajian atas talian adalah yang terbaik,” katanya. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS