Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IPS disaran pertimbang selaras semula yuran
Diterbitkan:  Jun 5, 2020 10:59 AM
Dikemaskini: 2:59 AM

Institut pengajian swasta (IPS) disarankan mempertimbangkan penyelarasan semula yuran dan bayaran oleh pelajar, dengan mengambil kira situasi menang-menang buat pihak IPS dan juga ibu bapa.

Perkara itu digariskan dalam garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sebagai lanjutan penuh daripada garis panduan yang dikeluarkan sebelumnya.

Penyelarasan semula yuran itu haruslah mengambil kira pembayaran untuk perkhidmatan yang tidak dapat disediakan oleh IPS sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP), termasuk bayaran makanan, pengangkutan, serta aktiviti pembelajaran yang memerlukan bayaran tambahan.

Selain itu, dalam mempertimbangkan penyelarasan yuran, IPS disarankan untuk turut mengambil kira situasi ibu bapa atau penjaga pelajar yang terjejas pendapatan atau mata pencarian mereka akibat PKP, atau yang merupakan pesakit positif Covid-19 atau perkara lain yang berkaitan.

Perbincangan dan kajian mengenai hal tersebut harus dilakukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Menghadapi Covid-19 yang dikehendaki ditubuhkan oleh IPS, yang hendaklah dianggotai oleh ahli lembaga pengelola (ALP), pentadbir, guru selain turut boleh melibatkan ibu bapa atau penjaga.

Sementara itu, panduan yang dikeluarkan kerajaan juga menetapkan pelajar antarabangsa perlu mengemukakan surat pengesahan bebas Covid-19 dalam bahasa Inggeris dari negara masing-masing.

Jika tidak, mereka akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan hanya akan dibenarkan hadir ke IPS selepas mendapat pelepasan daripada JIM.

Semalam, KPM mengeluarkan garis panduan yang menyatakan hanya pelajar tingkatan lima dan enam akan kembali ke sekolah apabila ia dibuka semula.

Mereka adalah pelajar yang terlibat dalam peperiksaan penting Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM), dan pelajar Tingkatan Enam yang mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM ) dan Sijil Tinggi Agama Islam Malaysia (STAM), serta semua peperiksaan antarabangsa yang setara.

Sementara itu, garis panduan penuh turut menyentuh tentang langkah pengurusan di sekolah berasrama.

Antaranya, KPM akan menyediakan pengangkutan bas buat pelajar yang terlibat dengan peperiksaan penting dan harus pulang ke asrama, kecuali bagi mereka yang akan dihantar sendiri oleh ibu bapa atau penjaga masing-masing.

Setelah tinggal semula di asrama, pelajar tidak dibenarkan untuk keluar outing atau pulang bermalam sehingga KPM mengeluarkan makluman lanjut, manakala pelawat hanya dibenarkan berjumpa dengan murid di asrama sekiranya terdapat urusan kecemasan.

Katil di asrama juga dijarakkan sejauh satu meter antara satu sama lain, manakala untuk katil dua tingkat pula, hanya katil bahagian bawah yang akan digunakan.

Sekiranya perlu, jadual penggiliran waktu makan juga harus disediakan di dewan makan, sementara solat berjemaah di surau dan semua aktiviti berkumpulan, termasuk perhimpunan, adalah ditangguhkan.

“Murid digalakkan menggunakan sejadah sendiri untuk solat,” kata garis panduan itu.

Tanda penjarakan satu meter juga hendaklah disediakan di tandas, bilik mandi, bilik cuci, bilik gosok, pantri, dewan makan, kelas persediaan (prep), dan kawasan-kawasan berkaitan bagi memastikan jarak sosial dapat dikekalkan.

Untuk rekod, setakat ini, KPM belum mengeluarkan tarikh rasmi sekolah akan dibuka semula.

Bagaimanapun, mengikut kenyataan sebelum ini, tarikh berkenaan akan diumuman selewat-leewatnya dua minggu sebelum tarikh sekolah dibuka semula.

Lihat Komen
ADS