Calon Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel mengingatkan lawannya, Datuk S. Subramaniam jangan memandang mudah kekuatan dan pengaruhnya di peringkat akar umbi.

Beliau menegaskan, penyandang jawatan nombor dua dalam MIC itu membuat kesilapan besar jika menganggap beliau kurang mendapat sokongan akar umbi.

"Saya seorang pekerja senyap dan saya yakin mereka akan terkejut. Orang sedar betapa besar kerja yang telah saya lakukan. Saya yakin kerja keras akhirnya mendatangkan hasil.

"Saya sentiasa menjadi orang peringkat akar umbi dalam tempoh awal semasa dalam Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hingga ke saat ini. Tidak perlu berterusan membuktikannya. Nama saya menjadi sebutan dalam parti dan semua peringkat dalam parti mengenali saya. Saya bukan personaliti yang mengejar glamour tetapi seorang pekerja yang rajin dan komited," katanya.

Menurut laporan Bernama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang merebut jawatan Timbalan Presiden MIC buat pertama kalinya Sabtu ini meminta 1,441 perwakilan supaya melihat trek rekod calon sebelum mengundi.

"Pada ketika propaganda dan informasi salah boleh diedarkan dengan mudah, adalah penting bagi perwakilan mencari kebenaran, melihat perbezaan antara mereka yang benar-benar berminat tentang kebajikan rakyat dan mereka yang memasuki politik untuk kepentingan peribadi," katanya.

Katanya, cara terbaik bagi perwakilan mencari kebenaran ialah dengan melihat trek rekod calon tertentu.

"Bila seseorang yang rajin dan jujur memimpin anda, seluruh masyarakat mendapat faedah kerana setiap orang bangga mempunyai pemimpin seperti itu. Beliau dapat menyampaikan keperluan masyarakatnya tanpa takut dan memihak. Sayalah orangnya," katanya yang juga seorang bekas wartawan.

Palanivel, 57, menyertai parti politik kaum India terbesar di negara ini pada usia muda 19 tahun. Beliau dilantik Setiausaha bahagian MIC Petaling pada 1972 dan terus meningkat naik dalam parti selepas itu.

Beliau diberikan tiket Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kawasan parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum 1990 dan kekal menduduki kerusi itu sejak itu.

Beliau yang merupakan calon "pilihan" presiden Datuk Seri S. Samy Vellu untuk jawatan Timbalan Presiden, menjadi Naib-Presiden pada 1994 dan telah memegang jawatan itu bagi empat penggal berturut-turut.

Palanivel percaya beliau dapat menambah nilai kepada pucuk pimpinan MIC jika dipilih khususnya dalam menambah baik struktur politik parti.

"Bukan saya semata-mata hendak mengetepikan seseorang atau melontar cabaran. Saya fikir masa membuat perubahan sudah tiba dan perubahan ini mendorong saya menyahut cabaran itu," katanya.