mk-logo
Berita
Apandi dakwa Sri Ram pujuknya untuk tangkap Najib pada Jan 2018
Diterbitkan:  Jun 10, 2020 10:07 PM
Dikemaskini: Jun 11, 2020 3:08 AM

Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali menuduh Gopal Sri Ram pernah cuba memujuknya untuk menangkap perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Pada hantaran di Facebooknya hari ini, Apandi mendakwa Sri Ram, mantan hakim mahkamah persekutuan itu, telah berkunjung ke rumahnya pada Januari 2018, dikatakan atas arahan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Apandi berkata Gopal, ditemani oleh seorang peguam muda keturunan Cina, telah datang ke rumahnya dengan alasan untuk mendapatkan pertolongannya mengenai perkara tertentu.

"Kemudian tiba-tiba, katanya, itu hanya alasan untuk bertemu saya dan dia mempunyai agenda yang lebih besar.

"(Sri Ram dikatakan menyebut:) Tun M hantar saya untuk bertemu anda."

"(Sri Ram juga didakwa berkata:) Beliau mahu anda menangkap Najib di pejabatnya, anda pergi esok jam 2 petang, kami telah mengatur supaya polis di Putrajaya melakukan apa yang perlu atas arahan anda.

"Kami juga telah mengatur supaya majistret mengeluarkan perintah reman ketika beliau (Najib) dibawa ke hadapannya."

Apandi selanjutnya mendakwa Sri Ram memberitahunya bahawa beliau akan menjadi wira di mata rakyat dan juga menjadi peguam negara pertama menangkap seorang yang sedang menjadi perdana menteri di Malaysia.

Kata Apandi lagi, beliau telah bertanya Sri Ram atas alasan apa Najib hendak ditangkap.

"(Sri Ram didakwa berkata:) Saudara, rakyat di luar sana merasa kecewa dan tidak gembira, hakikat bahawa anda menangkapnya, tidak kira alasannya, akan membuatkan rakyat berbahagia."

Menurut Apandi, beliau mempunyai bukti berupa rakaman CCTV dan saksi mata mengenai kunjungan tersebut.

Kejadian yang didakwa itu berlaku empat bulan sebelum BN dikalahkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan PH menjadi kerajaan baru ketika itu.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi Sri Ram untuk mendapatkan penjelasan.

Najib dikaitkan dengan dakwaan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB.

Selepas kerajaan BN tumbang pada PRU14, Najib disiasat dan kemudiannya dihadapkan dengan 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dengan dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion.

Ahli Parlimen Pekan itu antara lainnya juga didakwa dengan tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram sebanyak RM42 juta dana daripada SRC International, antara tuduhan lain.

Perbicaraan terhadap Najib kerana didakwa menyelewengkan dana daripada SRC International Sdn Bhd akan berakhir bulan depan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS