mk-logo
Berita
Musa Aman tuntut Shafie Apdal bayar RM1 bilion pada badan amal
Diterbitkan:  Jun 20, 2020 8:15 PM
Dikemaskini: 12:18 PM

Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman mengemukakan surat tuntutan guaman terhadap penggantinya Shafie Apdal dan dua orang pemegang amanah Yayasan Sabah, antaranya menuntut mereka membayar RM1 bilion dibayar kepada badan amal.

Ini selepas sidang media semalam apabila Yayasan Sabah mengumumkan telah memfailkan saman terhadap Musa, bagi mendapatkan RM872 juta wang yang didakwa "hilang" dalam perjanjian balak meragukan.

Musa, melalui peguamnya Tengku Fuad Tengku Ahmad, telah menafikan sebarang salah laku dan kini melalui surat tuntutannya meminta ganti rugi daripada Shafie, Pengarah Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah Jamalul Kiram Mohd Zakaria dan Douglas Lind yang perlu dibuat dalam masa 24 jam.

"(Permintaan pertama adalah untuk mereka) membayar kepada sebuah badan amal pilihan Musa sebanyak RM1 bilion," kata Tengku Fuad melalui satu kenyataan.

Tuntutan lain termasuk membuat surat permintaan maaf tanpa syarat kepada peguam Musa, yang kemudiannya perlu disiarkan di semua surat khabar dan media dalam talian, serta dibaca pada sidang media.

Mereka juga menuntut supaya Shafie dan dua lagi individu itu tidak lagi mengulangi tuduhan tersebut.

"Musa menyatakan bahawa kesan daripada sidang media, siaran akhbar dan penerbitan writ saman itu telah menyebabkan kerosakan dan kehilangan nama baik dan reputasinya dan kini meneruskan tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab," tambah Tengku Fuad.

Musa ialah pemimpin veteran Umno mengetuai kerajaan Sabah selama 15 tahun, dari 2003 hingga 2018.

Selepas kekalahan BN pada PRU14, beliau dikenakan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan konsesi pembalakan di negeri Sabah.

Minggu lepas, Musa dibebaskan daripada 46 pertuduhan selepas pihak pendakwaan menarik kesemua pertuduhan. Kes tersebut tidak dibawa ke perbicaraan.

Yayasan Sabah milik kerajaan negeri ditubuhkan pada 1966, memegang konsesi pembalakan paling besar di Sabah.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS