Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bung: Tiada tempoh masa untuk BN Sabah kembali berkuasa

Di saat perhatian tertumpu kepada status kerajaan persekutuan, BN Sabah dan sekutunya dalam usaha untuk membawa "angin perubahan" di negeri di bawah bayu itu.

Menurut Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin, ada perkembangan menggalakkan dalam meyakinkan Adun kerajaan untuk mengubah sokongan bagi membolehkan penukaran kerajaan.

Kenyataan Bung itu susulan dakwaan bahawa usaha untuk menumbangkan kerajaan Warisan minggu lalu - selepas dua Adun daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) keluar parti - telah gagal.

Tahu akan spekulasi itu, Bung berkata: "Saya ada dengar tentangnya. Tetapi tiada tempoh masa dalam (rancangan) menukar kerajaan negeri."

Anggota Parlimen Kinabatangan itu mengakui dia ada berhubung dan bertemu beberapa Adun serta MP setiap hari bagi memujuk mereka meninggalkan parti.

"Setiap hari, kami bercakap melalui telefon, saya bincang dengan mereka, kita berjumpa di kedai kopi," katanya kepada Malaysiakini tanpa menyebut sebarang nama.

Katanya lagi, mereka menunjukkan respons positif selepas kelemahan Warisan dan sekutunya dibangkitkan.

"Saya tak mahu kata berjaya atau tidak. Saya tak boleh beri bilangan (wakil rakyat yang dihubungi). Tetapi mereka positif, ada yang minta diberi masa untuk memikirkannya," katanya lagi.

Bung mendedahkan beliau ada berhubung dengan Adun Kuala Penyu Limus Jury dan Adun Sugut James Ratib, yang keluar Upko pada 15 Julai lalu.

Ditanya sama ada beliau memainkan peranan dalam perkara itu atau tidak, Bung membalas: "Mungkin."

Sukar untuk tumbangkan Shafie Apdal

Seorang sumber yang rapat dengan Bersatu Sabah bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa parti itu turut berusaha meraih sokongan Adun kerajaan.

"Saya tak tahu sebarang usaha untuk menggugat kerajaan negeri. Ia hanya spekulasi. Saya tak lihat sebarang pergerakan politik (untuk jatuhkan kerajaan negeri)," katanya yang enggan dinamakan.

Katanya lagi, pembangkang Sabah mempunyai kerusi yang cukup sedikit untuk menggugat pentadbiran Shafie Apdal, berbanding di empat negeri yang jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Kerajaan menguasai 45 daripada 65 kerusi DUN negeri itu. DUN Sabah memiliki 60 wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya dan lima yang dilantik kerajaan negeri.

Majoriti mudah memerlukan 33 Adun, tanpa mengira Adun lantikan atau yang menang pilihan raya.

Blok kerajaan memiliki 41 Adun yang diundi, iaitu Warisan (31), DAP (6), Upko (2) dan PKR (2).

Ia juga memiliki empat adun lantikan - dua daripada Warisan, dan masing-masing seorang daripada Upko dan PKR.

Pembangkang pula dibarisi 19 Adun diundi dan seorang yang dilantik, merangkumi Bersatu (9), PBS (4), STAR (3), Umno (1) serta dua Adun bebas yang keluar Upko.

Seorang Adun lantikan pada asalnya daripada PKR tetapi telah keluar parti itu dan kini menjadi wakil rakyat mesra pembangkang.

Mungkin ada pilihan raya mengejut

Berkenaan usaha menjatuhkan kerajaan negeri, seorang sumber yang rapat dengan PH Sabah berkata gabungan pemerintah yakin "kemungkinan terburuk telah berlalu".

Dia mendakwa PN menyasarkan Adun yang sebelum ini dalam pentadbiran BN Sabah, untuk melompat.

"Isnin lalu, selepas dua Adun Upko keluar, ada spekulasi empat lagi akan menyusul. Tetapi ia tak berlaku.

"Sebelum itu, seorang pemimpin Bersatu Sabah berkata kepada penyokongnya sesuatu akan terjadi pada Selasa lalu. Ia juga tak berlaku," katanya lagi.

Berkenaan pendakwaan terhadap Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Peter Anthony, dia yakin ia bagi memberi tekanan kepada Shafie agar menyokong PN di peringkat persekutuan.

Bagaimanapun, sumber itu berkata Shafie boleh saja memilih untuk membubarkan DUN agar pilihan raya diadakan, jika berlaku peralihan sokongan di kalangan wakil rakyat.

Jika ia berlaku, katanya lagi, para wakil rakyat yang berbuat demikian terpaksa memberi penjelasan kepada pengundi di kawasan mereka.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS