Malaysiakini
BERITA

Beku pekerja asing: Majikan perlu berdepan sikap pekerja tempatan - MEF

Yasmin Ramlan

Diterbitkan
Dikemaskini 25 Jun 2020, 1:16 pagi

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berkata majikan kemungkinan akan berdepan dengan karenah pekerja tempatan yang malu untuk melakukan pekerjaan yang dikosongkan oleh pekerja asing, selepas kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing.

Meskipun menyokong langkah kerajaan bahawa tindakan tersebut bagi meningkatkan pengambilan pekerja tempatan, Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata kerajaan juga harus fleksibel dalam pengambilan pekerja asing sedia ada dalam negara.

“Kalau seorang pekerja asing itu telah ditamatkan perkhidmatan kerana ada syarikat yang tidak memerlukan mereka ini, mereka hendaklah dibenarkan bekerja di sektor- sektor yang memerlukan pekerja.

“Sebagai contoh, di (sektor) perladangan banyak kekosongan pekerja dan kita tahu pekerja tempatan tak nak bekerja di sektor perladangan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Jelasnya, antara faktor utama pekerja tempatan enggan bekerja di sektor perladangan atau sektor yang dilakukan oleh pekerja asing sebelum ini kerana pekerjaan tersebut dipandang remeh oleh masyarakat.

Oleh itu beliau berkata, pekerjaan sedemikian perlu dijenamakan semula supaya lebih menarik minat pekerja, manakala majikan juga perlu berlabur untuk teknologi dan automasi bagi pekerjaan seperti itu.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai kesediaan rakyat tempatan dalam mengambil alih pekerjaan pekerja asing di negara dan cabaran yang bakal dihadapi oleh majikan susulan daripada pengumuman kerajaan itu.

Shamsuddin turut memberi contoh situasi di pasar borong Selayang, di mana majikan terpaksa berdepan dengan sikap pekerja tempatan yang tidak mempunyai daya tahan untuk melakukan pekerjaan yang dilakukan warga asing sebelum ini, dan akhirnya hanya tahan bekerja dalam tempoh yang singkat.

Pada 22 Jun lalu, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkata pekerja asing dalam semua sektor dibekukan hingga hujung tahun ini dengan peluang pekerjaan kini diutamakan kepada penduduk tempatan.

Pada masa sama beliau berharap pencari kerja menerima peluang pekerjaan yang ada bagi memastikan negara tidak bergantung kepada pekerja asing.

Bagaimanapun, Shamsuddin berkata persediaan perubahan untuk majikan dari segi kos penggajian dan penerimaan pekerja tempatan dalam menghadapi langkah yang diumumkan kerajaan itu perlu dilakukan secara berperingkat.

MTUC: Majikan sebelum ini pentingkan untung

Menyambut baik pengumuman kerajaan itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa pekerja tempatan diberikan hak dan perlindungan yang secukupnya seperti pembayaran gaji minimum, sistem insurans pekerja, caruman di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Presidennya Abdul Halim Mansor berkata, pekerja tempatan tidak diberi peluang sebelum ini kerana majikan mementingkan keuntungan dengan mengambil pekerja asing bekerja.

“Pada pendapat MTUC, pekerja tempatan sebenarnya berkebolehan dan berdisiplin. Tapi adakah pekerja tempatan ini diberi peluang?

“Ramai pekerja asing berada di negara kita, adakah ia satu keperluan atau satu keuntungan secara tidak langsung kerana (kos upah) pekerja tempatan itu lebih mahal daripada pekerja asing kerana pelindungan-perlindungan yang harus dibayar mengikut akta-akta yang disediakan?” soalnya.

Beliau berharap kerajaan dapat memastikan supaya majikan tidak mendiskriminasikan hak-hak dan perlindungan sosial pekerja tempatan apabila langkah itu dilaksanakan nanti. 

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.