mk-logo
Berita
Umno saran PM ikut Singapura, bubar Parlimen segera
Diterbitkan:  Jun 25, 2020 1:00 PM
Dikemaskini: 5:25 AM

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya mengikut jejak Singapura membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi mengembalikan kestabilan politik negara supaya kerajaan yang dibentuk kelak akan mendapat mandat yang baik dan diyakini.

"Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong telah membubarkan Parlimen republik tersebut bagi membolehkan pilihanraya umum diadakan pada 10 Julai 2020.

"Keputusan tersebut dibuat bagi memastikan kerajaan yang memerintah mempunyai mandat yang baik dan diyakini.

"Dalam konteks negara kita, adalah baik jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin juga melakukan perkara yang sama tanpa berlengah," tulis Mohamad dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Selasa lalu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Long menasihatkan presiden republik itu, Halimah Yacob supaya membubarkan Parlimen.

Ini berikutan keputusan beliau untuk mengadakan PRU selepas mendapati keadaan di negara itu sudah stabil untuk berbiuat demikian, walaupun masih memerangi wabak Covid-19.

"Saya memutuskan untuk mengadakan PRU sekarang dan memandangkan kita masih dilanda Covid-19, kempen kali ini tidak akan berjalan seperti biasa," katanya dalam satu perutusan.

Pejabat Perdana Menteri, dalam satu kenyataan, berkata penamaan calon ditetapkan pada 30 Jun ini dan tarikh pengundian ialah pada 10 Julai ini, dengan tempoh kempen minimum sembilan hari.

Sejumlah 2,653,942 pengundi akan memilih 93 calon mewakili 17 kawasan parlimen berkumpulan dan 14 kawasan parlimen individu.

Buat kali pertama, PRU Singapura akan menyaksikan minimum 12 Ahli Parlimen pembangkang dalam Parlimen, berikutan pindaan perlembagaan yang dibuat bagi menjamin tidak kurang 12 Ahli Parlimen pembangkang dipilih.

Dalam konteks Malaysia, Umno/BN sebelum ini menyatakan kesediaan mereka untuk menghadapi PRU15 selepas kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) cuba digugat Pakatan Harapan (PH).

Mohamad berkata, Malaysia tidak pernah berada dalam kedudukan politik yang sangat tidak stabil seperti hari ini sejak negara mencapai kemerdekaan.

Menurutnya, kestabilan politik akan memberi kesan dan pengaruh kepada banyak perkara termasuklah kemasukan pelabur, aktiviti ekonomi dan ketenteraman sosial.

Katanya, keadaan semasa sangat menyukarkan kerajaan untuk meluluskan pelbagai rang undang-undang yang kritikal termasuklah membentangkan belanjawan bagi memulihkan negara dari kemelesetan ekonomi yang dihadapi waktu ini.

"Segala usaha untuk memulihkan ekonomi Malaysia, mencipta pekerjaan dan melonjakkan persaingan tidak akan berlaku tanpa kerajaan yang stabil dan parlimen yang boleh berperanan melakukan semak dan imbang.

"Hanya kerajaan yang mempunyai mandat dan majoriti yang selesa di parlimen dapat berfungsi dengan baik dan menumpukan segala fokus kepada memulihkan Malaysia dari segala cabaran besar yang bersifat ‘unprecedented’ yang sedang kita hadapi," katanya.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata, negara tidak boleh terus menerus diheret dengan debaran ketidaktentuan serta kemungkinan pertukaran kerajaan selang beberapa bulan dan ia adalah sesuatu yang tidak sihat.

"Oleh yang demikian, kembalikanlah kuasa tersebut kepada rakyat dan biarlah mereka yang menentukan jalan kehadapan bagi tanahair tercinta," tambahnya.

Lihat Komen
ADS