Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ketua pengarang pertahan artikel berdasarkan maklumat bukan lagi bawah OSA

Ketua pengarang portal berita kesihatan CodeBlue, Boo Su-Lyn bertegas siri artikel berkenaan penemuan laporan siasatan bebas terhadap kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru pada 2016, berdasarkan maklumat yang tidak lagi diklasifikasi sebagai rahsia.

Boo yang juga menulis empat artkel yang disiarkan pada Mac lalu dipanggil ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Putrajaya semalam untuk disoal siasat berkaitan siasatan yang dipercayai dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).

"Saya pertahankan bahawa laporan itu tidak lagi diklasifikasi di bawah OSA sebelum penerbitan artikel saya di CodeBlue," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Artikel itu memetik bekas Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad sebagai berkata, penemuan dalam laporan 225 halaman yang dilihat CodeBlue itu tidak lagi diklasifikasi sebagai rahsia.

Penemuan itu berdasarkan siasatan bebas terhadap insiden yang meragut enam nyawa itu, yang dilakukan oleh jawatankuasa dianggotai tujuh ahli diketuai bekas hakim Mahkamah Rayuan Mohd Hishamudin Yunus.

Malaysiakini telah menghubungi Dzulkefly dan Hishamudin untuk mengesahkan status laporan tersebut.

Sementara itu, Boo berkata beliau disoal siasat tanpa kehadiran peguam dan telefonnya turut dirampas.

"Pegawai penyiasat beritahu saya siasatan berkenaan pendedahan maklumat kerajaan. Wartawan yang berintegriti tidak akan mendedahkan sumbernya. Ini sangat penting.

"Sebagai 'fourth estate', media perlu bebas untuk memberi makluman kepada orang awam dan mempertanggungjawabkan mereka yang berkuasa bagi tindakan mereka.

"Berbanding bertindak kepada pemberi maklumat, kerajaan sepatutnya membentangkan laporan siasatan kebakaran HSA kepada umum segera, seperti yang disyorkan siasatan bebas tersebut," katanya.

Dalam kes ini, Boo berkata keselamatan pesakit dalam penjagaan kesihatan adalah perkara utama, dan rakyat perlu dijamin akan keselamatan kemudahan penjagaan kesihatan di sektor awam dan swasta.

"Pemberi khidmat penjagaan kesihatan ada tanggungjawab untuk memberikan penjagaan yang bermutu dan selamat kepada pesakit.

"Itu yang sepatutnya menjadi topik perbincangan, bukan berkenaan siapa yang bocorkan laporan siasatan kebakaran HSA yang ditugaskan oleh kerajaan sendiri," katanya lagi.

Susulan laporan berkenaan siasatan terhadap Boo, kumpulan kebebasan media Pusat Jurnalisme Bebas (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka membangkitkan kebimbangan terhadap penggunaan undang-undang menekan yang menyekat hak terhadap maklumat dan kebebasan media.

Lihat Komen
ADS