Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peletakan jawatan CEO Petronas - 'Ada campur tangan kerajaan?'
Diterbitkan:  Jul 2, 2020 4:10 PM
Dikemaskini: 8:18 AM

Presiden PKR Anwar Ibrahim mempersoalkan sama ada campur tangan kerajaan sebagai punca peletakan jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) Wan Zulkiflee Wan Ariffin dari Petronas.

Walaupun kontraknya adalah sehingga April 2021, presiden dan CEO syarikat minyak dan gas asli nasional itu telah dinamakan sebagai pengerusi baru Malaysia Airlines Berhad (MAS) berkuatkuasa 1 Julai.

Dalam satu kenyataan hari ini, Anwar menuntut agar Petronas memberi penjelasan berhubung peletakan jawatan itu.

“Sebagai syarikat yang bertanggungjawab menyelia khazanah dan hasil negara, rakyat jelas tertanya-tanya apakah rencana sebenar di sebalik perletakan jawatan tersebut dan ini mesti dijelas dan diperincikan tanpa lengah oleh pihak Petronas.

“Apakah ada campurtangan kerajaan?” soalnya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu memetik tindakan terbaru Standard and Poor untuk menurunkan penarafan Petronas dari peringkat stabil ke negatif, seperti yang dilakukan terhadap Malaysia.

Menurut The Edge, agensi penarafan global itu menyatakan bahawa “apa yang dibimbangi badan tersebut adalah mengenai campurtangan kerajaan dalam Petronas” dan menggesa kerajaan agar menjelaskan berkaitan bayaran yang dibuat kepada Sarawak.

Anwar mengingatkan bahawa ketidakstabilan di Petronas - satu-satunya syarikat Fortune 500 di negara ini dan penyumbang besar terhadap produk dalam negara kasar - akan memberi dampak yang negatif kepada ekonomi negara dan mengesankan para pelabur antarabangsa.

“Gabungan pembangkang menuntut penjelasan menyeluruh dan tuntas terkait isu ini.

“Kegagalan Petronas untuk meleraikan persoalan-persoalan ini akan mengundang ketidakpercayaan yang akan mengeruhkan lagi keadaan semasa,” katanya.

Reuters sebelum ini membuat spekulasi bahawa Wan Zulkiflee mengundurkan diri kerana tidak bersetuju dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai rancangan untuk membayar cukai penjualan sebanyak RM2 bilion kepada Sarawak.

Petronas walau bagaimanapun kemudiannya menyangkal laporan itu.

Pada 6 Jun lalu, Muhyiddin sambil mengucapkan penghargaan atas kepimpinan dan sumbangan Wan Zulkiflee selama 37 tahun bersama Petronas mengumumkan bahawa beliau akan dipindahkan ke MAS untuk membantu menyusun semula syarikat penerbangan nasional berkenaan.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan (CEO) Petronas yang baru.

Lihat Komen
ADS