Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganjur: Polis patut hubungi kami bukan 'ahli Parlimen Digital'
Diterbitkan:  Jul 5, 2020 9:13 PM
Dikemaskini: 1:13 PM

Penganjur majlis debat belia dalam talian "Parlimen Digital" menggesa pihak polis untuk menghubungi mereka mengenai acara ala sidang Dewan Rakyat itu dan bukan mencari para pesertanya.

"Beberapa peserta telah dipanggil hadir ke balai polis untuk disoal siasat tanpa nasihat peguam, manakala ada juga yang diundang untuk perbincangan secara santai," katanya.

"Untuk penjelasan dan permintaan maklumat, kami minta pihak polis untuk menghubungi kami, pihak penganjur acara itu," kata kumpulan tersebut, sambil menambah semua maklumat berkaitan dengan perbahasan tersedia dalam talian di laman web Parlimen Digital dan saluran media sosial.

Setelah tamat hari kedua dan terakhir sidang Parlimen Digitak hari ini, sekretariat penganjur dalam satu kenyataan menegaskan bahawa semua 222 peserta dipilih berdasarkan prestasi peribadi mereka, tanpa pertimbangan politik.

"Parlimen Digital adalah ruang yang selamat bagi para belia untuk membahaskan isu-isu mendesak yang mempengaruhi golongan belia dan mengemukakan idea mereka untuk Malaysia yang lebih baik tanpa mengira latar belakang mereka.

"Sebelum persidangan Parlimen Digital, para peserta kami telah bertemu dengan pemimpin politik utama, menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat di parlimen dan Dewan Undangan Negeri," kata mereka lagi.

Kenapa polis hubungi peserta?

Terdahulu hari ini, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Parlimen Digital membuktikan bahawa persidangan Dewan Rakyat boleh diadakan tanpa kehadiran anggota parlimen khususnya ketika wabak Covid-19.

Bekas perdana menteri itu berkata, persidangan Dewan Rakyat masih boleh boleh berlangsung secara tele sidang untuk membahaskan sesuatu perkara.

"Saya mengikuti perbahasan di Facebook Parlimen Digital dan kagum melihat inisiatif oleh sekumpulan anak muda.

"Mereka telah mengambil bahagian berbincang dan berbahas usul-usul yang dibawa secara objektif," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Bagaimanapun anggota Parlimen Langkawi itu tidak menyentuh mengenai tindakan polis menghubungi mereka yang terbabit dengan Parlimen Digital semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata cubaan pihak polis untuk menghubungi para peserta tidak dialu-alukan.

"Ianya cukup mengganggu bahawa terdapat sikap tidak bertoleransi pada hari ini dan era ini dan tidak ada alasan untuk menimbulkan ketakutan terhadap penganjur dan peserta program ini.

"Terutama ketika ia benar-benar mempromosikan wacana cerdas, kecuali tentu saja, tujuan penyiasatan oleh polis adalah untuk menyekat kebebasan bersuara dan kritikan yang sah terhadap pemerintah yang mungkin berlaku akibat perbahasan dalam program itu," katanya.

Parlimen Digital dianjurkan oleh tiga organisasi politik belia iaitu Challenger Malaysia, Undi18 dan Liga Demokratik Malaysia.

Malaysiakini merupakan rakan media rasmi majlis perdebatan belia itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS