Malaysiakini
BERITA

Dr M: Parlimen Digital bukti parlimen boleh bersidang tanpa kehadiran MP

Diterbitkan
Dikemaskini 5 Jul 2020, 6:17 pagi

Parlimen Digital membuktikan bahawa persidangan Dewan Rakyat boleh diadakan tanpa kehadiran anggota parlimen khususnya ketika wabak Covid-19, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, persidangan Dewan Rakyat masih boleh boleh berlangsung secara tele sidang untuk membahaskan sesuatu perkara.

"Saya mengikuti perbahasan di Facebook Parlimen Digital dan kagum melihat inisiatif oleh sekumpulan anak muda.

"Mereka telah mengambil bahagian berbincang dan berbahas usul-usul yang dibawa secara objektif.

"Ini membuktikan bahawa dalam apa juga suasana termasuk ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19, sidang Parlimen boleh diadakan melalui platform digital dengan kaedah `tele-conference` tanpa perlu hadir di Dewan Rakyat," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Bagaimanapun anggota Parlimen Langkawi itu tidak menyentuh mengenai tindakan polis menghubungi mereka yang terbabit dengan Parlimen Digital semalam.

Sebelum itu, Adun Kampung Tunku Lim Yi Wei berkata pelaksanaan Parlimen Digital yang digerakkan anak muda sepatutnya diraikan, bukannya dikekang pihak berkuasa.

"Kami kira adalah tidak wajar ahli-ahli Parlimen digital dipanggil oleh pihak berkuasa dan diminta menjelaskan penyertaan mereka.

"Anak muda perlu diberi ruang bersuara dan menyumbang idea untuk membina negara. Kami berharap agar ahli-ahli Parlimen digital bebas berbahas tanpa sebarang tekanan dari pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM Sharan Raj juga turut mengecam tindakan polis, manakala Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Dalam Negeri memberikan penjelasan.

Sementara itu, Mahathir berkata Parlimen Digital mampu membuka peluang kepada anak muda berpidato dan berinteraksi secara sihat.

"Selain dapat mengenal pasti pemimpin muda yang mempunyai bakat menjadi pemimpin," katanya lagi.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.