Pulihkan hubungan Mahathir-Pak Lah secara senyap, ahli Umno
Kalangan ahli dan pemimpin Umno mahu usaha memulihkan hubungan antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilakukan secara senyap-senyap dan bijaksana.
Kalangan ahli dan pemimpin Umno mahu usaha memulihkan hubungan antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilakukan secara senyap-senyap dan bijaksana.
Menurut mereka, usaha menjernihkan keadaan itu tidak perlu diberi publisiti oleh pihak media bagi mengelakkan laporan yang kurang tepat.
"Semua ingin melihat ia selesai dengan baik. Kalau tak diberi publisiti lagi baik, kalau ada usaha-usaha hendak dilakukan," kata Naib Presiden Umno, Datuk Mohamed Ali Rustam kepada media selepas pelancaran sambutan Hari Kesihatan Sedunia oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di Melaka.
Mohamed Ali yang juga juga Ketua Menteri Melaka berkata, semua pihak boleh memainkan peranan untuk menjernihkan keadaan.
Beliau juga mengalu-alukan sekiranya ada pihak berusaha untuk menerangkannya secara bersemuka kepada Dr Mahathir yang akhir-akhir ini lantang mengkritik kerajaan pimpinan Abdullah kerana tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan kerajaan seperti membatalkan beberapa projek yang diilhamkan oleh bekas perdana menteri itu.
Laporan akhbar semalam menyebut usaha 'mendamaikan, kedua-dua pemimpi itu sedang dilakukan oleh orang tengah yang baru dilantik iaitu Tun Khalil Yaakob.
Bekas Ketua Pengarang akhbar New Straits Time, Datuk A. Kadiur Jasin pula melaporkan di dalam 'blog' nya bahawa Khalil yang dikatakan "dihormati" Perdana Menteri dan "disayangi" mantan Perdana Menteri, telah menemui Dr. Mahathir di rumahnya di Mines Resort, Sungai Besi, selama sejam setengah pada petang Sabtu lalu.
Di dalam tulisannya itu, Kadir yang memetik sumber-sumber berkata, dalam pertemuan itu Dr Mahathir mengulangi pendiriannya mengenai pelbagai perkara yang beliau bangkitkan selama ini dan menegaskan yang beliau tidak bercadang untuk mengubah pendiriannya.
Kata sumber-sumber itu, Dr Mahathir memberitahu Khalil jika isu-isu yang dibangkitkannya itu tidak tepat, Abdullah berhak menjawab dan menyanggahnya.
Selagi Perdana Menteri tidak menjawab, Dr. Mahathir akan terus berpegang kepada pendiriannya.
Menurut sumber-susmber itu lagi, Khalil memberi jaminan akan menyampaikan semua pandangan dan sentimen Dr Mahathir kepada Perdana Menteri.
Perdana Menteri berlepas ke Australia Rabu lalu untuk bercuti dan menjalami rawatan resedung smentara Dr. Mahathir bertolak tengah hari semalam untuk bercuti di Turki.
Laporan media
Sementara itu menurut laporan Bernama, beberapa pemimpin Umno Melaka meminta pihak media tidak memperbesarkan berita perana orang tengah bagi 'mendamaikan' kedua-dua pemimpin itu bagi mengelakkan salah anggap rakyat tetapi sebaliknya menyerahkannya kepada kebijaksanaan pemimpin Umno sendiri untuk menyelesaikannya secara baik.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Melaka, Ab Rahaman Ab Karim berkata adalah wajar media tidak menjadikan isu tersebut sebagai berita utama.
"Umno terbuka dengan pelbagai kritikan dan pandangan, dan biar pemimpin Umno sendiri menyelesaikannya," katanya.
Ketua Umno Bahagian Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah meminta pihak media lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam laporan mereka dengan tidak memperbesarkan perkara tersebut.
"Apa cara sekalipun, carilah formula terbaik untuk menyelesaikan salah faham yang berlaku dengan bijaksana tanpa menyentuh perasaan mana-mana pihak," kata beliau.
Ketua Umno Bahagian Alor Gajah, Datuk Hamdin Abdollah meminta pihak media memainkan peranan menenangkan keadaan sekarang supaya kemelut yang berlaku ini tidak bertambah rumit dan tidak menghilangkan keyakinan orang ramai khasnya orang Umno kepada mana-mana pihak.
Setiausaha Umno Bahagian Bukit Katil, Yunos Husin juga bersetuju supaya pihak media "tidak membuat sesuatu yang boleh mengeruhkan lagi suasana".
Beliau berkata apa yang berlaku itu, jika dibesarkan, akan menjadikan politik negara ini tidak stabil termasuk menyebabkan para pelabur tidak senang untuk melabur di negara ini.

