Dewan Rakyat diberitahu bahawa polis telah mendapati tiada kes terhadap peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa telah mengugut seorang bekas hakim Mahkamah Tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz berkata, siasatan polis mendapati tiada bukti kukuh dalam dakwaan yang dibuat oleh bekas hakim KL Kehraj terhadap Muhammad Shafee itu.

Nazri menjawab soalan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugur) berhubung hasil siasatan polis terhadap dakwaan Kehraj bahawa beliau telah diugut oleh Muhammad Shafee ketika menjalankan tugasnya sebagai hakim.

Dewan sedang menggulung perbahasan berhubung Rang Undang-undang Profesyen Guaman (Pindaan) 2006.

" Polis ada menerima aduan yang dibuat oleh KL Rekhraj dan seorang lagi pengadu, Zaharah Abdul Rahman. Ia telah disiasat dan telah dikategorikan dalam 'tiada tindakan lanjut' kerana didapati kekurangan bukti," kata Nazri.

Karpal juga mendakwa Shafee mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan dan sering menggunakan nama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datukn Seri Abdullah Ahmad Badawi.

" Waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Shafee berhubung dakwan Rekhraj itu tetapi dia telah diberi ' perlindungan' hingga waran itu ditarikbalik,"dakwa Karpal.

Pemimpin DAP itu turut mendakwa polis tidak bertindak terhadap tiga laporan polis yang dibuat oleh seorang pengadu bernama 'Zaharah Abdul Rahman' yang turut mendakwa diugut oleh Shafee.

Karpal berkata, beliau memiliki salinan ketiga-tiga laporan polis berkenaan.

" Mengapa tiada tindakan? Adakah ini menunjukkan Shafee mendapat perlindungan dari pihak atasan?" soal beliau lagi.

Bagaimanapun ketika ditemui di luar Dewan, Karpal enggan mengulas lanjut tentang dua kes yang disebutkannya itu serta tidak menunjukkan salinan laporan polis yang didakwa dimilikinya itu. Berita asal