Bekas CEO SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil sedang bersembunyi di Hong Kong bersama isteri dan anak-anaknya, kata Bukit Aman hari ini.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memaklumkan pasukan keselamatan telah menyampaikan maklumat tersebut kepada pihak berkuasa Hong Kong untuk mendapatkan bantuan mereka, tetapi setakat ini tidak mendapat sambutan positif.

"Nik Faisal ada di Hong Kong, ya. Isteri dan anak dia juga ada di sana.

"Kita pun dah tulis surat pada polis Hong Kong nak minta boleh kesan (Nik Faisal)," katanya kepada pemberita semasa sidang media di ibu pejabat polis persekutuan hari ini.

Ketua polis itu menjawab soalan wartawan mengenai perkembangan terbaru mengenai usaha menjejaki ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan rakan-rakannya yang dikehendaki oleh pihak berkuasa berhubung skandal 1MDB.

Menurut Abdul Hamid, mereka telah beberapa kali memaklumkan kepada polis Hong Kong mengenai keberadaan Nik Faisal, lengkap dengan perincian yang telah diperolehi oleh Bukit Aman mengenai lelaki yang dikehendaki itu.

Bagaimanapun, jelasnya, pihak berkuasa Hong Kong telah membalas permintaan mereka dengan jawapan negatif, mengatakan maklumat yang diberikan oleh polis Malaysia tidak betul.

"Telah buat permintaan pelbagai cara. Ada verbal telefon contact kat sana.

"Perlu diingat dia di dalam notis merah (Interpol), jadi tanggung jawab polis tersebut (untuk membantu).

"Tambahan kita ada beri butiran-butiran tertentu. Pada mula jawapannya negatif, negatif.

"Tetapi ada maklumat terbaru kata anak isteri (Nik Faisal) ada sana. Takkan anak isteri dia ke sana kalau dia tiada sana

Untuk rekod, SRC International pernah menjadi anak syarikat 1MDB dan Nik Faisal ialah salah seorang yang dicari polis.

Dia ialah antara saksi terpenting dalam perbicaraan SRC International terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Dia telah disebut oleh saksi dalam perbicaraan sebagai orang yang mempunyai kawalan terhadap akaun AmBank Najib, di mana sejumlah RM42 juta didakwa telah dipindahkan ke dalam akaun itu.

Bagaimanapun, usaha membawanya pulang untuk memberi keterangan dalam perbicaraan belum berjaya kerana pihak berkuasa yang menyiasat kes itu sejak 2015 belum dapat mengambil kenyataan bekas pengarah itu.

Di mana Jho Low, apa nasib Sirul?

Sementara itu, mengenai Low pula, Abdul Hamid berkata pihaknya tidak mempunyai maklumat mengenai lokasi lelaki tersebut, tetapi menegaskan bahawa polis tidak akan berhenti memburu ahli perniagaan dan rakan subahatnya itu.

Beliau mendakwa polis juga telah memperoleh maklumat di mana terdapat lima orang lain yang dikehendaki bersama-sama dengan peniaga tersebut.

Bagaimanapun, katanya, polis tidak dapat menangkap mereka kerana beberapa kekangan.

Beliau juga mengisyaratkan bahawa individu tersebut bersembunyi di kawasan tertentu tetapi tidak mengulas lanjut. Sebaliknya, Abdul Hamid meminta wartawan untuk menganalisis mengapa mereka memilih untuk berbuat demikian.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata telah mengadakan perbincangan mengenai bekas anggota unit tindakan khas polis, Sirul Azhar Umar dengan seorang wakil Polis Persekutuan Australia (AFP) semasa lawatan rasmi ke Bukit Aman awal hari ini.

Beliau berkata masalah mendapatkan Sirul untuk dibawa pulang dari Australia untuk menghadapi hukuman atas sabitan kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu tidak akan dapat diselesaikan selagi Malaysia masih mempunyai hukuman mati.

"Ada isu berhubung Sirul dibangkitkan. Oleh kerana masih berkuatkuasanya undang-undang di malaysia, seseorang warga asing yang hendak diusir atas permintaan negaranya mesti dipastikan individu itu tidak menghadapi kemungkinan hukuman mati kerana Australia telah hapus hukuman mati.

"Jadi dasar Australia, kita hormati undang-undangnya dan kita tak boleh memaksa.

"Sebolehnya kita nak Sirul dibawa balik tetapi oleh kerana kekangan undang-undang di Australia, maka tergantung di situ.

"Berapa lama kita tak boleh jawab. Tapi kehendak Australia, tak hendak ada hukuman mati," jelas beliau lagi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS