Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Permit kerja warga asing dalam laporan Al Jazeera dibatal
Diterbitkan:  Jul 12, 2020 11:13 AM
Dikemaskini: 3:40 AM

Permit kerja Md Rayhan Kabir, warga Bangladesh yang terbabit dalam laporan dokumentari Al Jazeera berkenaan cara Malaysia menangani pendatang tanpa izin bagi mengekang penularan Covid-19, telah dibatalkan oleh Jabatan Imigresen.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador kepada Harian Metro, hari ini.

"Oleh itu, dia perlu menyerah diri sebelum diusir balik ke negara asalnya," katanya seperti dipetik.

Terdahulu, Jabatan Imigresen mencari Rayhan, 25, dan beberapa lagi untuk membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63, susulan penerbitan dokumentari bertajuk Locked Up in Malaysia’s Lockdown yang disiarkan pada 3 Julai lalu.

Sejak ia disiarkan, Al Jazeera menerima kecaman daripada warga maya yang mendakwa kesalahan fakta dalam laporan itu dengan ada yang menggesa Rayhan dan wartawan organisasi media itu diusir.

Pada 10 Julai lalu, Enam kakitangan Al Jazeera dipanggil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berkenaan dokumentari itu.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob pula membidas Al Jazeera dan menyifatkan laporan itu sebagai pembohongan, serta mendesaknya memohon maaf.

"Menuduh tindakan kita sebagai rasis juga tidak benar. Apa yang dilakukan adalah berdasarkan undang-undang. Jabatan Imigresen Malaysia guna akta imigresen, untuk tangkap mereka yang tidak mempunyai dokumen sah," katanya.

Pengurusan Al Jazeera mempertahankan dokumentari kontroversi itu dan menyatakan kebimbangan terhadap gangguan yang dihadapi oleh kakitangannya susulan reaksi balas terhadap dokumentari tersebut.

Majlis Keselamatan Negara, yang mengkoordinasi usaha menangani Covid-19, pula memberi amaran bahawa warga asing boleh dibatalkan pas imigresen jika membuat "kenyataan tidak tepat" terhadap negara.


Lihat Komen
ADS