mk-logo
Berita
Pua: Dulu 'wira' kritik 1MDB, kini Muhyiddin elak jawab soalan
Diterbitkan:  Jul 14, 2020 4:39 PM
Dikemaskini: 9:03 AM

Ahli Parlimen DAP Tony Pua mendakwa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersembunyi di sebalik alasan "subjudis" bagi mengelak soalan berkaitan 1MDB.

Dalam satu hantaran Facebook, Pua berkata ini merupakan individu sama yang pada 2015 digugurkan oleh Najib Razak - perdana menteri ketika itu - daripada jawatan timbalan perdana menteri dan dibuang daripada Umno setahun kemudian, ekoran bersuara berkenaan skandal tersebut.

Ahli Parlimen Damansara itu berkata demikian susulan dua soalannya di Parlimen mengenai 1MDB ditolak dengan alasan perbicaraan berkaitan dakwaan penyelewengan dana syarikat itu masih berjalan.

Dalam hantaran itu, Pua turut memuat naik surat penolakan soalan itu yang ditandatangani setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin

Walaupun ditolak oleh pejabat Speaker Dewan Rakyat, Pua sekali lagi mengkritik Muhyiddin atas keputusan tersebut.

"Muhyiddin adalah 'wira' yang menghentam Najib berhubung skandal 1MDB bernilai RM50 bilion.Tetapi sekarang, ketika ditanya tentang apa pendirian Peguam Negara (AG) dalam kes perbicaraan rasuah Najib-1MDB, Muhyiddin berkata 'subjudis'.

"PM yang terhormat, saya tidak bertanya mengenai kes itu, yang mungkin melibatkan 'subjudis'. Saya bertanya pendirian AG (baru) dalam kes tersebut. Bagaimana pendirian AG boleh menjadi 'subjudis'?" soalnya.

Pua mendakwa dia ingin mengajukan pertanyaan berikutan keputusan "dilepas tanpa dibebaskan" terhadap anak tiri Najib yang juga penerbit filem Hollywood Riza Abdul Aziz, pada Mei atas dakwaan pengubahan wang haram melibatkan AS$248 juta dana yang dikaitkan dengan 1MDB.

Semalam, dia menyifatkan penolakan soalan itu telah menghilangkan peluang Muhyiddin yang menjawab persoalan berhubung komitmennya dalam menentang rasuah.

Lihat Komen
ADS