Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Calon PM: Amanah, DAP yang cadang nama saya, kata Shafie

WAWANCARA | Nama Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal hangat diperkatakan bulan lalu apabila dia dikatakan mungkin menjadi calon perdana menteri buat PH Plus.

Bagaimanapun, parti komponen PH iaitu DAP dan Amanah - yang didakwa setuju dengan cadangan itu - kemudian mengeluarkan kenyataan bersama memaklumkan perkara itu perlu diputuskan di peringkat PH.

Dalam mesyuarat majlis presiden PH kemudian, gabungan itu pada 5 Julai lalu berkata mereka tetap dengan keputusan awal iaitu Anwar sebagai calon perdana menteri.

Dalam wawancara hari ini, Shafie mendedahkan DAP dan Amanah yang mula-mula mencadangkan namanya.

"Ia dicadangkan oleh DAP dan Amanah. Itu bukan cadangan Dr Mahathir Mohamad. Mereka bawa idea seperti ini untuk memberi penyelesaian kerana Mahathir dan Anwar tidak boleh bekerja bersama," katanya di Kuala Lumpur.

Menurut presiden Warisan itu, dua parti komponen PH itu membangkitkan cadangan itu sebagai pilihan ketiga bagi memecah kebuntuan setelah Anwar dan PKR tidak setuju Mahathir sekali lagi menjadi calon perdana menteri.

Shafie menyifatkan "pusingan-U" oleh DAP dan Amanah itu menunjukkan betapa tidak tegasnya PH.

Beliau berkata tidak pernah meminta untuk dinamakan sebagai calon perdana menteri, tetapi ia timbul setelah PH tidak dapat mencapai keputusan walaupun sudah beberapa mesyuarat dibuat untuk menyelesaikan isu Mahathir-Anwar.

Untuk rekod, PH Plus yang merupakan pakatan longgar antara PH dengan Warisan dan kem Mahathir dari Bersatu, sebelum ini membincangkan kombinasi Anwar-Mukhriz Mahathir sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun, ia ditolak oleh Warisan memandangkan Shafie berkata beliau hanya akan menyokong Mahathir sebagai calon, walaupun hanya untuk enam bulan sebelum menyerahkannya kepada Anwar.

Pilihan itu turut mencadangkan Anwar menjadi timbalan kepada Mahathir.

Menurut Shafie, Mahathir yang telah mengumumkan tidak lagi mahu dicalonkan, tidak mengambil masa lama untuk setuju dengan cadangan itu.

"Tun respons kepada cadangan oleh Guan Eng, fikir selama kira-kira dua minit, dan kata 'mengapa tidak? Ia idea yang baik'," katanya.

Perlu selesaikan dengan DAP, Amanah

Ditanya sama ada pilihan itu masih ada untuk pembangkang, memandangkan PH telah memutuskan untuk kekal dengan Anwar, Shafie berkata beliau perlu menyelesaikannya dengan DAP dan Amanah terlebih dulu.

Katanya, Anwar ada bertemunya di Parlimen semalam dan meminta untuk berbincang dengannya.

Bagaimanapun, kata Shafie lagi, beliau tidak boleh tunjukkan kepada Anwar berkenaan idea itu memandangkan dua parti yang mencadangkannya telah berkata sebaliknya.

"Saya rasa perlu berbincang dengan rakan-rakan yang mencadangkan nama saya, sebab saya perlu pastikan (perkara itu) terlebih dulu.

"Sebab saya tak boleh berkata-kata (tentangnya) kepada Anwar. Apa-apa pun saya tidak terlalu mahukannya, (saya lakukannya) kerana saya hanya satu penyelesaian kepada masalah.

"Biar saya selesaikan dengan Amanah dan DAP. Mereka cadangkan mana saya dan tiba-tiba lain pula. Jadi saya fikir perlu selesaikan dengan mereka dulu."

Shafie berkata mereka juga akan cuba mengusahakan agar PKR setuju dengan rancangan itu.

Beliau mendakwa selain Mahathir dan Anggota Parlimen yang menyokongnya, beberapa lagi dalam kem Anwar turut menyampaikan sokongan kepadanya.

"Jika kita boleh bersama-sama untuk undi di Parlimen demi kepentingan bersama, mengapa tidak? Maksud saya, ia adalah penyelesaian.

"Kem Mahathir menyokong saya, dan sebahagian dalam kem Anwar juga menyokong saya dan mereka telah sampaikan mesej.

"Pastinya ia akan memakan masa dan masa tidak berpihak kepada kita."

Perlu langkaui kebuntuan

Shafie yakin bahawa seorang perdana menteri dari Borneo adalah impian para pengasas Malaysia, yang mahu melihat Sabah dan Sarawak dalam taraf yang sama dalam pembentukan persekutuan Malaysia.

Katanya, negara telah memiliki tujuh perdana menteri dari Semenanjung - iaitu Johor, Pahang, Pulau Pinang dan Kedah - tetapi tiada lagi dari Sabah atau Sarawak.

Pada masa sama, beliau menegaskan apa yang lebih penting adalah untuk PH mengatasi kebuntuan dan berusaha untuk membawa negara ke depan.

"Rakyat di negari ini memerlukan pertolongan kita. Ke mana arah kita? Tiada pekerjaan, tiada pendapatan. Anak-anak perlu terus hidup.

"Keinginan dan kehidupan rakyat lebih penting daripada kita yang mahu jadi calon perdana menteri," katanya lagi.

Berkenaan isu sama, Shafie ditanya jika kerjasama antara Warisan dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah suatu perkara yang tidak mustahil.

Katanya, mereka telah melakukannya sejak PH menjadi kerajaan persekutuan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS