Malaysiakini
BERITA

Pembunuhan karakter

Umi Anaqiy Ahmad

Diterbitkan
Dikemaskini 14 Jul 2020, 1:39 tengahari

ULASAN | "Dosa kamu jual (aset TH) ini, kamu tanggung sampai akhirat."

"TH diurus oleh bukan Islam."

"Mujahid jual aset umat Islam."

"Islam terancam."

Inilah antara bait-bait perkataan yang sering berlegar-legar selama kira-kira 22 bulan Mujahid Yusof menjadi menteri agama.

Saya masih ingat lagi, setiap kali ada isu melibatkan Tabung Haji mesti saya akan "sesak nafas".

Sesak nafas sebab saya rasa isu ini bukan isu semberono. Isu ini melibatkan jutaan umat Islam di Malaysia terutamanya pak cik, mak cik- bukan sahaja di kampung tetapi juga di bandar.

Dulu saya selalu fikir macam mana nak bagi pemahaman tanpa guna ayat jargon kepada mereka bahawa kita langsung tak berniat nak jual TH.

Semua orang pun tahu Tabung Haji ini isu yang sangat sensitif dan mudah untuk trigger orang Melayu, Islam.

Sebab itu, 22 bulan lalu, isu ini jadi peluru hidup pihak tertentu menyerang. Serangan bukan sahaja kepada Pakatan Harapan tetapi kepada Mujahid sendiri.

Saya pun fahamlah. Isu Melayu, Islam dan perkauman isu yang mudah untuk kita menaikkan kemarahan orang.

Jadi tidak hairanlah, "zikir" yang sering diratib ialah berkaitan isu Melayu, Islam sehingga menampakkan Mujahid dan kementeriannya langsung tidak buat apa-apa.

Kalaulah anda semua faham betapa rumitnya susur galur dan birokrasi untuk sesuatu perkara dilaksanakan bila berada di sebuah kementerian- yang orang rasa kita mempunyai kuasa besar terhadap sesuatu isu- sedangkan kementerian agama inilah antara salah satu kementerian yang mempunyai kuasa yang terhad.

Saya mengambil contoh isu kononnya Islam diperlekeh di media sosial.

Isu ini sebenarnya perlu merentasi pelbagai kementerian kerana ia melibatkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Kementerian Dalam Negeri (KDN). Kementerian agama yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) ini tak ada kuasa yang begitu powerful secara langsung untuk tangani isu tersebut.

Hanya sekadar mampu mengeluarkan kenyataan penegasan dan menubuhkan unit pemantauan hina Islam di bawah Jakim.

Itu pun, Jakim perlu bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sama juga dengan isu-isu lain. Sebagai contoh lagi isu mengenai Muhammad Sajad Kamaruzzaman.

Isu melibatkan Muhammad Sajad pernah "meletup" tahun lalu dan Mujahid "diherdik" dengan pelbagai tohmahan dan dakwaan kononnya tidak mengambil tindakan.

Hari ini, meskipun menteri Dr Zulkifli Mohamad beri kuasa penuh pada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk ambil tindakan, tetapi tahukah anda kuasa Jawi pun sebenarnya terhad di kawasan Wilayah Persekutuan sahaja.

Kalau si Muhammad Sajad Kamaruzzaman ada di Selangor, maka ia memerlukan kerjasama jabatan agama Islam lain dan undang-undang syariah di Malaysia juga tidak selaras di setiap negeri.

Untuk "uruskan" si Muhammad Sajad ini sahaja memerlukan penglibatan beberapa kementerian dan kementerian agama bukanlah kementerian utama yang boleh menyelesaikannya.

Ia memerlukan kerjasama dan penglibatan sepenuhnya semua pihak dan ia tidak mudah tetapi tidak mustahil.

Sebab itu, ketika menjadi menteri, Mujahid sendiri pernah tegaskan bahawa ada isu lain yang lebih besar dari laksana hudud iaitu menyelaraskan undang-undang syariah di Malaysia.

Kerana, dengan menyelaraskan undang-undang syariah ini, ia antara lainnya dapat memperkasakan lagi agama Islam di negara ini.

Tapi, usaha ini diperlekeh kononnya tolak hudud = tolak Islam.

Ini baru dua contoh saya beri. Betapa mudahkan membunuh karakter seseorang.

Paling haru, pihak yang cerdik, pandai agama pun turut ikut sama.

Saya selalu cakap kepada sesiapa yang bertanya, sepanjang saya bekerja sebagai pegawai Mujahid, tidak pernah sedikit pun wujud perbincangan untuk menjahanamkan TH.

Yang sering saya dengar daripada mulut ketua pegawai eksekutif (CEO) TH selepas PH menjadi kerajaan, Zukri Samat dan CEO terkini Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff ialah: mereka mahu memulihkan TH dan nak pastikan aset umat Islam terjaga dan tidak disalah guna.

Saya sangat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan individu profesional yang bersungguh-sungguh ingin memastikan TH right on track semula terutama berkaitan pengurusan kewangannya.

Hari ini, lebihan aset TH adalah sebanyak RM1.9 bilion dan kerajaan sendiri mengakui TH tidak dikuasai orang bukan Islam.

Tersenyum sendirian saya membaca jawapan bertulis itu sambil terngiang-ngiang lirik lagu terbaru Joe Flizzow- Kuasa.

Hanya dengan bayangan saja
Kita kurang gunakan akal
Cita-cita nak ke hujung dunia
Hanya nak mencari kuasa…

Si zalim tercekik makan gelojoh
Kepala berlilit perangai tak senonoh
Dihina tertawa mereka seloroh
Diherdik hodoh
Tapi di detik dan masa anjakan paradigma
Termakbul doa dalam hikmah
Dan bila kebenaran mencuci semua fitnah
Lengkaplah mukadimah
Dan bila yang ditindas akhirnya bertakhta
Mereka kan merasa, kuasa

 


UMI ANAQIY AHMAD pernah berkhidmat sebagai pegawai kanan semasa Mujahid Yusof Rawa menjadi menteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.