Wawancara: Hakim perlu rela disiasat
Malaysiakini mengadakan wawancara eksklusif dengan, bekas Ketua Hakim Malaya, Tan Seri Anuar Zainal Abidin baru-baru ini. Dalam pertemuan itu antara lain beliau bercakap mengenai sistem kehakiman.
Dalam wawancara selama dua jam itu beliau juga melahirkan kebimbangannya terhadap pengaruh Islam dalam keputusan penghakiman di mahkamah sivil.
Berikut adalah sedutan wawancara tersebut.
Malaysiakini mengadakan wawancara eksklusif dengan, bekas Ketua Hakim Malaya, Tan Seri Anuar Zainal Abidin baru-baru ini. Dalam pertemuan itu antara lain beliau bercakap mengenai sistem kehakiman.
Dalam wawancara selama dua jam itu beliau juga melahirkan kebimbangannya terhadap pengaruh Islam dalam keputusan penghakiman di mahkamah sivil.
Berikut adalah sedutan wawancara tersebut.
Malaysiakini: Adakah sistem kehakiman sudah bertambah baik sejak Tan Sri bersara?
Annuar: [Ketawa] Susah nak jawab...
Dari segi penghakiman, saya masih mengikutinya kerana masih menerima Malayan Law Journal - terdapat keputusan-keputusan yang baik. Cuma satu sahaja, kadang kala terdapat terlalu banyak pengaruh seperti pengaruh Islam, saya tidak begitu senang dengan keadaan ini. Saya rasa keputusan penghakiman tidak patut dipengaruhi oleh apa-apa kecuali mengikut undang-undang yang ada.
Sekarang kita sedang menunggu satu keputusan penting iaitu perbicaraan kes Lina Joy ... tunggu dan tengoklah apa yang akan berlaku.
Malaysiakini: Apa maksud Tan Sri dengan pengaruh Islam?
Prinsip dan tafsiran undang-undang berkenaan. Pernah dalam satu kes, mahkamah sivil menolak kes berkenaan dengan alasan isu tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Syriah. Sebenarnya apabila Mahkamah Syriah membuat keputusan terhadap kes murtad, itu tidak bermakna keputusan itu muktamad. Kita masih boleh mendebatkannya. Undang-undang adalah 50-50. Ia dibuat oleh manusia.
Dalam Perlembagaan Persekutuan kita dijamin kebebasan beragama. Adakah kebebasan itu hanya untuk orang bukan Islam? Tidakkah ia juga untuk orng Islam? Bagi saya kebebasan itu juga diberi kepada orang Islam. Saya bebas memilih agama saya sendiri.
Ada orang mengatakan jika kita Islam, kita Islam selama-lamanya. Saya tidak fikir begitu. Saya bukan pakar dalam hal ehwal Islam tetapi akal waras saya mengatakan Islam adalah satu agama yang adil. Jika saya mahu keluar dari Islam, saya akan keluar...
Pada zaman dulu, jika seseorang murtad, ia akan dihukum bunuh...selesai terus masalah itu. Tetapi sekarang, seperti yang berlaku di Kelantan tidak lama dulu, seorang penganut Islam dihukum selepas dia mengisytihar dirinya murtad. Soalnya adakah dia dapat keluar dari Islam selepas dihukum? Tidak... dia tak boleh keluar dari Islam. Akhirnya dia akan dihukum selama-lamanya. Amalan ini tidak selari dengan ajaran Islam.
Sekarang ini mereka menggantikan undang-undang Tuhan dengan undang-undang buatan manusia,
Kalau kita bercakap tentang prinsip Islam, mereka sebenarnya melakukan satu kesalahan dan kesilapan apabila mempercayai orang Islam tidak boleh meninggalkan Islam. Oleh itu sesuatu perlu dilakukan.
Kita tahu hukuman Islam untuk murtad ialah bunuh, tiada alternatif lain. Oleh itu perkara paling penting perlu dilakukan ialah menerangkan kepada bakal penganut Islam tentang hukuman itu. Saya tidak tahu samaada ini dilakukan atau tidak oleh pihak berkenaan.
Malaysiakini: Pada pendapat Tan Sri patutkah mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk mendengar pertikaian antara agama.
Annuar: Ya.
Malaysiakini: Inilah pendirian sistem kehakiman semasa zaman Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas, tetapi keadaan sudah berubah sekarang.
Annuar: Itu sebabnya saya katakan beberapa hakim kita telah dipengaruhi oleh ajaran atau sentimen Islam, ini lebih merbahaya. Jika mereka terpengaruh dengan ajaran Islam, mereka perlulah tahu dengan mendalam mengenai Islam. Mereka mesti mahir tentang perkara itu.... jika tidak jangan membuat keputusan dengan berpandukan ajaran Islam kerana mereka adalah hakim mahkamah sivil, bukannya hakim mahkamah suyariah. Hakim mahkamah sivil tidak mempunyai kelayakan undang-undang syriah, bagaimana boleh membuat keputusan berdasarkan undang-undang Islam.
Saya pernah terjumpa satu kes...seorang magistret yang mempunyai kelayakan dari sebuah universiti Islam. Magistret ini mengadili kes memandu di bawah pengaruh alkohol. Dia telah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap pesalah bukan Islam dan RM4,000 ke atas pesalah beragama Islam.
Jadi saya bertanya, mengapa hukumannya berbeza sedangkan kesalahannya sama?
Jawapanya kepada saya, pesalah berkenaan didenda RM2,000 kerana dia bukan Islam tetapi pesaalah beragama Islam dikenakan denda lebih tinggi kerana bukan sahaja dia melanggar undang-undang jalanraya tetapi Islam juga melarangnya minum arak
Akhirnya saya terpaksa menerangkan kepada megistret itu bahawa dia sekarang di mahkamah sivil, tolong lupakan undang-undang syariah yang dipelajari di universiti Islam itu.
Ini adalah kesilapan manusia dan ia kerap berlaku.
Malaysiakini: Bagaimanapun dengan dakwaan berlakunya rasuah di kalangan hakim sebagaimana pernah didakwa dalam surat layang bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Ahmad Aidid. Malah beliau tampil semula baru-baru ini mahukan siasatan terhadap dakwaannya itu dibuka semula. Ada tanggapan bahawa siasatan dulu tidak dijalankan sebaiknya walaupun terdapat bukti-bukti mencukupi.
Annuar: Pihak yang lagi satu mendakwa siasatan rapi telah dibuat tetapi saya dapati Peguam Negara hanya membisu. Kita semua tahu hanya Peguam Negara boleh memutuskan samaada sesuatu kes perlu dibuka atau ditutup. Tiada orang lain boleh menentukannya termasuk menteri atau ketua hakim....hanya Peguam Negara boleh memutuskannya atau mengulas perkara ini
Jika Peguam Negara memutuskan untuk membuka siasatan, tiada siapa boleh menghalangnya. Jika dia memutuskan untuk menutup kes itu, tiada siapa boleh mempertikaikannya. Orang lain tidak patut membuat kenyataan kerana mereka tidak berhak berbuat demikian. Keputusan terletak sepenuhnya di tangan Peguam Negara.
Adakah orang-orang yang mengulas mengenai perkara ini membuat komen bagi pihak Peguam Negara atau bagi pihak diri mereka sendiri? Bagi saya, terpulang kepada Peguam Negara untuk menutup atau membuka sesuatu kes itu. Jadi anda perlu bertanya sendiri pada Peguam Negara. Bagi saya tiada salahnya kes berekenaan dibuka semula. Berapa lamakah masa yang diambil untuk menutup kes tersebut pada masa itu?
Malaysiakini: Ia ditutup dalam masa yang singkat...kira-kira sebulan....
Masa sebulan untuk menyiasat aduan setebal 33 mukasurat yang mengandungi pelbagai tuduhan? Cukupkah masa sesingkat itu untuk menyiasat semua tuduhan yang membabitkan ramai personaliti itu? Akal waras saya mengatakan siasatan tidak dijalankan selengkapnya.
Malaysiakini: Jadi Tan Sri fikir mereka cuba menutup sesuatu?
Annuar: Baik saya berterus terang sahaja.....ya, saya fikir begitulah.
Malaysiakini: Jika siasatan dibuka semula ramai hakim dan bekas hakim tidak lena tidur......
Annuar: Ya... terpaksa kita menghadapi keadaan itu...tambahan pula Perdana Menteri telah membuat komitmen untuk membasmi rasuah, mahu menjadi lebih telus....Tiada sebarang peruntukan dalam undang-undang yang menyekat siasatan sesuatu kes dibuka semula terutama sekali sekarang apabila kita menganggap perkara itu sebagai aduan baru.
Malaysiakini: Ketika Syed Ahmad Idid membuat dakwaan itu, Tan Sri menjadi Ketua Hakim Malaya?
Annuar: Ya...
Malaysiakini: Adakah Tan Sri mendapat salinan dakwaan-dakwaan yang dikelasifikasikan sebagai surat layang itu?
Tidak....tetapi saya ada mendengar tentangnya dan telah membaca salinan yang dimiliki oleh orang lain. Saya ada bertemu Syed Ahmad selepas itu dan dia memberitahu saya yang dia tidak mendapat pencen Mereka memberinya kata dua.
Malaysiakini: Kata dua supaya berhenti atau.....
Annuar: Ya...lebih kurang begitulah....
Malaysiakini: Sebagai Ketua Hakim Malaya yang bertanggungjawab terhadap Hakim Mahkamah Tinggi, adakah nasihat Tan Sri diminta dalam menangani kes itu?
Annuar: Tidak....sebenarnya saya tidak berapa disukai...
Malaysiakini: Setelah membaca semua dakwaan itu, apa pendapat Tan Sri?
Annuar: Sebagaimana yang saya katakan tadi, ada beberapa dakwaan tidak disiasat dengan rapi.
Malaysiakini: Jika siasatan dibuka semula, tidakkah ia akan menjejaskan sistem kehakiman negara?
Annuar: Tidak...saya tidak fikir itu akan berlaku. Walau apapun, kita kena tengok hasilnya dulu. Kalaupun dakwaan-dakwaan itu terbuti benar dan ada hakim yang diarahkan meletak jawatan, saya rasa ia mungkin membabitkan bebrapa orang hakim sahaja.
Malaysiakini: Andainya ada hakim yang korup dikenakan tindakan, tidakkah ia baik bagi sistem kehakiman kita? Tidakkah ia akan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap bidang kehakiman?
Annuar: Ya...Jika siasatan dibuka semula orang ramai akan lebih menghormati sistem kehakiman kita. Lebih-lebih lagi jika para hakim menyatakan kesediaan mereka untuk disiasat.
Kalau ada hakim yang buat salah, kita kena dedahkan. Kita tidak boleh berdiam diri seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
Malaysiakini: Apa pula pendapat Tan Sri tentang pentadbiran bidang kehakiman sekarang?
Annuar: Bagi saya mesti ada pemisahan tanggungjawab. Ketua Hakim Malaya bertanggungjawab terhadap hakim mahkamah tinggi dan mahkamah bawahan. Ini termasuk urusan pertukaran, disiplin, pengurusan dan pentadbiran.
Ketua Hakim Negara perlu berada di arena antarabangsa seperti yang dilakukan oleh allahyarham Tun Suffian, membawa suara bidang kehakiman Malaysia di luar negara. Ketua Hakim Negara tidak perlu memikirkan soal pertukaran budak pejabat, cuti dan sebagainya. Kita patut letak dia di tempat yang tinggi . Inilah kedudukan yang diberikan kepada Suffian, Salleh Abas, dan Raja Azlan Shah...mereka tidak perlu memikirkan soal pentadbiran.
Malaysiakini: Jadi Tan Sri mengatakan Ketua Hakim Negara sekarang terlalu dibebankan dengan urusan pentadbiran?
Annuar: Ya...saya fikir begitulah....
Malaysiakini: Bagaimanapun dengan syor Tan Sri Ahmad Fairuz supaya tiga hakim mengadili satu perbicaraan bagi mengelakkan rasuah?
Annuar: Saya rasa ia tidak praktikal. Kita kekurangan hakim, kakitangan dan bilik. Perlembagaan menetapkan kita hanya boleh mempunyai 54 orang hakim. Kalau didarab tiga, kita perlukan 162 orang hakim, jadi ia tidak praktikal.
Malaysiakini: Bagaimana dengan dakwaan terhadap bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Eusoff Chin yang dikatakan berkawan rapat dengan peguam V.K Lingam sedangkan kes yang diwakli oleh peguam itu sedang dibicarakan di depan Ketua Hakim itu? Apa pendapat Tan Sri?
Annuar: Saya fikir kes Tan Sri Eusoff Chin itu telah ditutup agak cepat. Sebenarnya apabila lagi banyak dinafikan hak untuk menyiasat para hakim, lagi mendalam kecurigaan orang ramai. Ini lebih merbahaya.
Malaysiakini: Tetapi kita bercakap tentang hakim yang paling berkuasa di Malaysia...
Annuar: Ya...tapi hakim paling berkuasa di negara ini pernah disingkirkan oleh kerajaan.....mengapa tidak hakim yang paling berkuasa disingkirkan pula oleh rakyat. Tidakkah rakyat lebih berkuasa dari kerajaan? Rakyat yang melantik kerajaan, jadi secara tidak langsung rakyat juga yang melantik para hakim. Berita asal

