Kaum India paling ramai membunuh diri
Kaum India merupakan golongan yang paling ramai membunuh diri di negara ini, demikian menurut statistik Kementerian Kesihatan tahun lepas.
Kaum India merupakan golongan yang paling ramai membunuh diri di negara ini, demikian menurut statistik Kementerian Kesihatan tahun lepas.
Perangkaan kementerian itu menyatakan, angka membunuh diri kaum India ialah 21.1 orang bagi setiap 100,000, diikuti kaum Cina, 8.6 orang setiap 100,000 dan Melayu, 2.6 orang setiap 100,000.
Kadar peningkatan bunuh diri di negara ini dianggarkan antara lapan hingga 13 orang setiap 100,000 penduduk setahun iaitu sebanyak tujuh orang setiap hari serta lebih 2,000 kematian setahun.
Menurut laporan Bernama, kajian kementerian itu juga mendapati antara faktor utama menyumbang kepada bunuh diri ialah kemiskinan, kehilangan orang yang disayangi, keretakan perhubungan, seperti perceraian dan penagihan dadah.
Sementara itu pakar Komunikasi dan Perundingan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Ishak Abdul Hamid pula menerangkan, faktor lain yang menyumbang kepada perbuatan membunuh diri ialah kegagalan akademik, sejarah penyakit fizikal atau mental seperti kemurungan serta sejarah bunuh diri dalam keluarga.
" Faktor-faktor ini turut menyumbang kepada peningkatan kes berkenaan kebelakangan ini," katanya bagi mengulas gesaan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk G.Palanivel Rabu lepas supaya Lembaga Penapisan Filem menapis adegan bunuh diri dalam filem yang dikhuatiri mendatangkan pengaruh negatif kepada penonton.
Gesaan Palanivel itu dibuat berikutan kejadian seorang ibu dan dua anaknya terbunuh selepas digilis kereta api di landasan berdekatan Taman Tuanku Ampuan Najihah, Sungai Gadut, Negeri Sembalan pada 4 Julai lepas.
Dalam kejadian menyayat hati itu, surirumah K.Sanggita, dan dua anak perempuannya, J.Sagitah, 6, dan J.Esther, 3, terbunuh manakala anak lelakinya, J.Jason Kalidas, 5, cedera parah selepas dirempuh kereta api.
Jason Kalidas kini dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia dan polis percaya kejadian itu berpunca daripada masalah pergeseran keluarga.
Ishak juga tidak menolak kemungkinan amalan menghabiskan banyak masa di depan televisyen boleh mempengaruhi golongan suri rumah untuk mencontohi aksi adegan yang ditonton bagi mengatasi masalah putus asa.
Katanya, kajian menunjukkan kemungkinan mereka membunuh diri mengikut adegan filem yang mereka tonton, mempunyai keberangkalian lebih tinggi, jika mereka mengalami sikap putus asa terhadap kehidupan ditambah dengan tekanan hidup dan masalah keluarga.
Ishak menambah, perkara itu dijelaskan dalam teori pemupukan oleh pengkaji barat, George Gerbner.
"Teori itu menyebut golongan "heavy viewers" yang terdiri daripada individu yang banyak meluangkan masa di hadapan TV seperti surirumah mudah percaya apa yang mereka tonton setiap hari.
"Sehinggakan mereka tidak dapat membezakan realiti kehidupan sebenar dengan rekaan realiti di dalam rancangan televisyen atau filem yang mereka tonton," jelasnya.
Tapis adegan keterlaluan
Ishak yang juga Pengarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, berkata berdasarkan kepada teori pembelajaran sosial oleh Albert Bandura, media elektronik khususnya televisyen mempunyai kesan terhadap perlakuan sosial individu melalui maklumat visual yang disiarkan.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Rayuan Lembaga Penapisan Filem Senator Datuk Jins Shamsuddin ketika mengulas perkara yang sama berkata adegan-adegan sedemikian tidak wajar dipertontonkan kepada umum memandangkan semua agama menolak perbuatan membunuh diri.
Katanya semua adegan sensitif untuk tontonan awam akan ditapis terlebih dahulu malahan LPF akan mengambil tindakan menapis atau memotong mana-mana adegan keterlaluan berdasarkan rayuan daripada pihak umum atau pihak-pihak lain.
"Bagaimanapun sebagai orang filem, saya berpendapat semua filem tidak akan memaparkan adegan putus asa sehingga menjurus kepada perilaku bunuh diri yang sememangnya bertentangan dengan ajaran agama dan adat resam orang timur," kata Jins yang juga Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).
Presiden Sutradara Malaysia (FDAM) Dr Mahadi J.Murat yang menyokong cadangan supaya adegan bunuh diri ditapis berkata adegan itu tidak sepatutnya dijadikan klimaks dalam sesuatu filem kerana ia memberikan impak negatif kepada perlakuan masyarakat.
Sambil menyifatkan rancangan televisyen atau filem menyumbang kepada corak perlakuan masyarakat, beliau berkata rancangan televisyen dan filem seharusnya mempunyai unsur pendidikan sosial dalam usaha membentuk masyarakat yang lebih bermoral dan berakhlak tinggi.
"Ini kerana terdapat faktor lain yang turut menyumbang kepada insiden bunuh diri seperti yang berlaku kepada keluarga malang itu," katanya.

